Awie Murah Rezeki
Oleh: Wan Asrudi Hasan
Harian Metro, 2 Oktober 2007
(edited version)
Padat dengan jadual penggambaran filem tidak menghalang penyanyi rock, Awie untuk merakam lagu. Sepanjang tahun ini saja sudah enam filem lakonannya seperti Cuci, Brave (Bangkok), Antoo Fighter, Duyong, Cinta U Turn dan Apa Kata Hati. Mengikut perancangan Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 39, akan meneruskan penggambaran filem Zombie Kilang Biskut, Suami Pilihan dan Baik Punya Cilok II tidak lama lagi.
Pun begitu, bidang nyanyian bergerak seiring dengan aksi di layar perak buat bekas teraju utama filem Sembilu itu. Justeru, beberapa projek bagi `menyerlahkan' nama Wings tetap giat dijalankan Awie bersama anggota kumpulannya. Ia termasuk merakam semula lagu terbaik Wings.
"Selepas selesai penggambaran filem Cinta U-Turn dan Apa Kata Hati saya bersama anggota Wings `terperap' dalam studio bagi menghasilkan projek album terbaru yang kami rancang selepas sekian lama. Kami merakam semula koleksi lagu terbaik daripada semua album secara `live' di studio dengan susunan muzik yang lebih padu dan bersesuaian dengan konsep yang akan kami tonjolkan kelak.
Setakat ini, satu album berjudul Teori Domino sudah berjaya disiapkan dan kami akan menyambung rakaman untuk album kedua selepas Syawal nanti. Album yang dirakam dalam format lagu (CD) dan video (VCD) ini besar kemungkinan berada di pasaran penghujung tahun ini," katanya.
No comments:
Post a Comment