11 June 2007

BANG YOUR HEAD - Lima Dekad Satu Transisi (Siri 2)

50AN ERA LAGU MELAYU KE PIRING HITAM


Joget merupakan antara genre yang popular pada 50an, begitu juga Rumba dan Samba. Kedua-dua genre ini juga dikenali sebagai Joget Moden (kerana adanya penggunaan instrumen muzik Barat seperti piano, gitar, bongo dan maracas) dan sering dimainkan di dewan-dewan tarian dan kabaret-kabaret.

Sekitar 50an, lagu-lagu Melayu dan lagu-lagu filem yang menjadi pujaan ramai mula dirakamkan ke piring hitam dan antara studio yang paling canggih pada masa itu ialah Mac Donald House, Orchard Road, Singapura. Semua rakaman dibuat dengan menggunakan alat perakam pita EMI yang paling moden dan pita-pita rakaman kemudiannya akan dihantar ke Britain untuk proses memindahkan lagu-lagu yang siap ke piring hitam. Antara syarikat-syarikat rakaman yang terkenal pada masa itu ialah Columbia Records, Pathe, Parlophone dan His Master’s Voice atau HMV yang mana piring hitamnya tercetak gambar seekor anjing yang sedang mendengar lagu dari peti gramofon.

Pada akhir tahun 40an dan awal 50an, terdapat ramai penyanyi wanita yang mula mencipta nama dalam arena seni suara. Antaranya ialah Rubiah, Rokiah Hanafi, Momo, Lena, Sutinah dan Asiah. Nyanyian mereka biasanya diiringi Rayuan Kencana Orkestra, salah sebuah orkestra terbaik di Malaya di bawah pimpinan Osman Ahmad. Rubiah, anak murid Ahmad Jaafar (penggubah lagu terkenal sekitar 50an-60an) ialah penyanyi wanita paling popular sekitar 40an dan 50an. Antara lagu-lagunya yang diminati ramai ialah “Bunga Tanjung”, “Teratai”, “Kuala Deli” dan “Melati”. Suaranya sering menggantikan suara pelakon Kasma Booty dalam adegan-adegan nyanyian filem Melayu.

P. Ramlee lebih banyak merakamkan lagu di bawah syarikat Pathe dan antara lagu-lagunya ialah “Di Renjis-Renjis”, “Azizah”, “Satay” dan “Baidah”. Lagu popular beliau bersama label Parlophone ialah “Malam Bulan Di Pagar Bintang” (berduet dengan Saloma).

(Bersambung)

Contoh piring hitam HMV

2 comments:

gayour said...

mana pegi 'superstar' R.AZMI yang mengganas di zamannye?
gitu gak dengen genre LANGGAM?

gayour said...

lagu satu penyanyi JASNI yang tak kurang hebatnye dengan R. AZMI.