Showing posts with label ROCKAROLLA. Show all posts
Showing posts with label ROCKAROLLA. Show all posts

20 January 2009

AJL 23 DAN KLU TERSIRAT

It's a clear-cut winner right from the start! Sedari awal rasanya tidak keterlaluan jika dikatakan lagu Meet Uncle Hussain "Lagu Untukmu" memiliki kelainan dan kekuatan tersendiri yang mampu mengatasi 13 lagi lagu lain yang bersaing dalam Anugerah Juara Lagu Ke-23 (AJL 23).

Tidak mahu membuat ulasan panjang, hanya sekadar ingin membuat satu kesimpulan positif mengenai lagu itu dan AJL 23.

AJL 23 dengan jelas menunjukkan bahawa industri muzik Malaysia sebenarnya tidak perlu ditopang dengan resolusi 90:10 yang memang terang dan nyata hanya akan menguntungkan pihak tertentu dan bukannya band/artis yang baru hendak bertapak. Sebaliknya, apa yang diperlukan oleh industri ialah lebih ramai artis/band baru seperti Meet Uncle Hussain, Faizal Tahir, Stacy, Estranged, Aizat, Elyana dan tentunya komposer/penulis lirik yang lengkap bersenjatakan idea-idea baru untuk mengangkat karya tempatan ke strata yang lebih tinggi, melangkaui sempadan negara. Persaingan dan 'ancaman' lagu-lagu luar akan terus wujud, dan oleh sebab itu, kita dan industri kita yang harus berubah. Bukan sekadar memekik memaki, atau hanya duduk memerhati.

Tahniah kepada semua yang berjaya.
Dan tahniah juga kepada TV3. Kombinasi penataan cahaya dan rekabentuk pentas kali ini memang fantastic dan kena pada tema Iluminasi Muzik; Tetapi segmen persembahan anak-anak kecil (maaf, tak sure diorang ni pemenang program realiti yang mana sebab memang tak follow...hehe) bersama Jaclyn Victor, Jamal Abdillah dan M. Nasir kurang mantap (no more "Gemilang", please!). Cuma diharapkan agar tidak ada lagi 'kejutan' tidak perlu sepertimana lagu "Dingin" yang dimasukkan pada saat-saat akhir.

Power to indie bands! Keep on rockin'!

Trivia Rock
Logo Superman yang terdapat pada gitar Faizal Tahir yang dikeleknya ketika menyanyikan lagu "Sampai Syurga" itu adalah karya seni airbrush Rosdan (Bloodshed/Punisher). ;-) (Btw, Faizal, if you're reading this, was your performance inspired by Jon Bon Jovi's "Blaze Of Glory" video? Especially tang efek angin bertiup dan mengerbangkan rambut tuuuu...Main agak je ni. Jangan marah, haa...)


Ini Meet Uncle Hussain pertama kali (kalau tak silap) diketengahkan
dalam ROTTW pada Julai 2005 (Teks: Apis Foto: Seir).
Artikel ni dijamin gossip-free! Hehe.


"Something in The Way":
-Nadia-

07 November 2008

LAGI-LAGI CHINESE DEMOCRACY

"I see you people singing the new songs. You download them, f**kers!
You can hold your breath a lot longer than David Blaine.

I want to thank you for that..."
- Axl Rose
(Pix: www.canada.com)

Sedang Aerosmith sudahpun mula berkira-kira untuk masuk studio dan merakamkan album terbaru mereka selepas kemunculan Just Push Play lapan tahun yang lalu, Guns N' Roses pula baru-baru ini mengumumkan bahawa album Chinese Democracy akan diterbitkan pada 23 November 2008 (akhirnyaa?!).

Sememangnya ramai yang menantikan Chinese Democracy kerana kemunculannya sudah banyak kali tertangguh dan ia adalah album studio pertama GNR selepas 'ketandusan' karya baru hampir 17 tahun! Penangguhannya sering dijadikan bahan lawak, sehingga ada yang mengatakan mungkin setelah China menjadi sebuah negara demokrasi, barulah album itu akan diterbitkan! (Haha).

Walau bagaimanapun, Chinese Democracy telah menjadi mangsa lanun Internet dan beberapa lagu yang terkandung didalamnya sudahpun tersebar. Namun, GNR (Axl Rose saja line-ups asal yang tinggal) tidak berdiam diri. Minggu lepas, seorang lelaki yang berasal dari Los Angeles telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan memuat naik sembilan daripada 14 lagu album tersebut ke satu laman web.

Mengapa 'Terperam' Lama Sangat?

1997-2000


Proses pembikinan Chinese Democracy sebenarnya bermula sejak 1997. Pada masa itu, hanya tinggal Axl meneruskan perjuangan GNR bersama Dizzy Reed, Paul Huge aka Paul Tobias (menubuhkan Hollywood Rose bersama Axl pada 1984), Robin Finck (Nine Inch Nails), Tommy Stintson (The Replacements) dan Josh Freese (The Vandals/A Perfect Circle). Namun selepas empat kali penerbit bertukar ganti, album itu masih gagal disiapkan.

Rupa-rupanya sepanjang pembikinan album itu, Axl langsung tidak ke studio. Dia hanya menunggu line-ups yang lain menghantar CD atau kaset yang mengandungi idea-idea lagu ke rumahnya setiap minggu. Walaupun lebih 1,000 CD dan kaset yang telah dihantar, Axl tidak terlintas untuk menulis lirik atau menyudahkannya kerana baginya ada saja yang tak kena tentang lagu-lagu itu.

Situasi ini berlarutan sehingga 2000 dan yang menariknya, gaji setiap pemuzik dan jurutera yang terlibat dalam pembikinan album ini tetap dibayar sepanjang tempoh tersebut walaupun tidak ada kerja rakaman sebenar yang dibuat.

Walau bagaimanapun, sepanjang tempoh itu, Axl telah merakamkan semula kesemua lagu yang terkandung dalam Appetite for Destruction (tak tau pasal apa, tapi salah satu lagunya "Sweet Child O Mine'' telah digunakan dalam filem 'Big Daddy' pada 1999) dan juga sebuah lagu bertajuk "Oh My God" untuk dimuatkan dalam album runut bunyi filem 'End Of Days' (1999).

2000-2001

Pada Jun 2000, GNR muncul dan membuat persembahan live buat kali pertama di Cat Club, Sunset Strip, Los Angeles dan seterusnya di House of Blues, Las Vegas (show yang ni start pukul 4 pagi kerana perangai diva Axl!). Ini diikuti pula dengan tour di Brazil, Hong Kong, Jepun, England dan Belgium pada 2001. Axl banyak menimbulkan masalah sepanjang tour itu sehinggakan banyak jadual konsert terpaksa dibatalkan di saat-saat akhir.

Sambutan peminat terhadap GNR memang memberangsangkan ketika itu, tetapi media pula melabelkan mereka 'The Greatest GNR Tribute Band'. Ini mungkin kerana mereka masih memainkan lagu-lagu GNR yang lama, dan sudah tentulah ada yang akan membuat perbandingan dengan GNR versi 80an dulu.

2002-2006

Pada penghujung 2001, jumlah yang telah dilaburkan untuk menyiapkan Chinese Democracy ialah 10 juta dolar. Oleh kerana syarikat rakaman GNR sudah tidak sanggup lagi menanggung kosnya, Axl telah diarahkan untuk meneruskan pembikinan album itu dengan menggunakan duit sendiri.

Selain menanggung kos tersebut, vokalis itu terpaksa berdepan dengan berbagai-bagai kes saman yang dikemukakan terhadapnya. Antaranya ialah kes Axl telah membelakangkan line-ups GNR yang lama seperti Slash dan Duff McKagan untuk mendapatkan hakcipta lagu-lagu GNR.

Pada Jun 2003, ex-GNR iaitu Slash, Duff dan Matt Sorum menubuhkan Velvet Revolver bersama Scott Weiland dan menerbitkan album sulung mereka Contraband setahun berikutnya. Ini menambahkan sakit hati Axl sehinggakan dia sanggup membuat satu sidang media untuk memburukkan Velvet Revolver. Dalam sidang media itu, Axl mendakwa kononnya Slash datang bertemunya dan mengadu keburukan Duff, Matt dan Scott (ingatkan Melayu je ada PhD..hehe).

2007

Jumlah wang yang telah dilaburkan untuk Chinese Democracy ialah 13 juta dolar (ini termasuk upah Tom Zutout, orang yang bertanggungjawab memperkenalkan GNR kepada Geffen Records, untuk pujuk Axl siapkan!). Satu jumlah yang sangat besar untuk menyiapkan sebuah album. Malangnya, setakat ini, bayang Chinese Democracy pun tak nampak, habuk pun tarak!

Mungkin 23 November 2008 akan menamatkan segala tanda tanya. Tetapi, seperti kata Mick Wall dalam bukunya 'W.A.R The Unauthorized Biography Of William Axl Rose', kemungkinan besar lagu-lagu yang bakal ditampilkan dalam Chinese Democracy sudah tidak relevan lagi dengan trend atau industri muzik sekarang kerana ianya 'terperam' begitu lama.

Dan adakah GNR sendiri masih relevan dengan arus muzik semasa dan boleh diterima oleh kelompok peminat muzik rock sekarang yang sebahagian besarnya menginginkan rock yang mudah dan tidak terlalu complicated? Hanya masa yang akan menentukan. Tunggu saja 23 November.


P/s: Okeh, dah banyak aku merapu ni. Enjoy your weekend rockers semua. Aku nak pegi siang ikan. Har har..Oh ya, jangan lupa tengok ROCK PRIMA pukul 10 malam ni di Astro. Kita rockin' bersama MAY!!

-Nadia-


16 October 2008

NASYID? ROCK ROHANI? POP DAKWAH?

Artikel berikut ditulis oleh Yatt dan tersiar di ruangan Minda, Harian Metro 16 Oktober 2008. Mungkin ada yang tertanya-tanya apa kena-mengena kisah nasyid dan blog rock ini? Ada juga kena-mengenanya. Bacalah dulu, okey?

MINDA: Usah Rosakkan Nasyid!
Oleh: Riadz Radzi

SEJAK Raihan tampil dengan album sulung, Puji Pujian pada 1997, irama nasyid yang dilihat tidak mampu untuk berkembang mula memasuki dimensi baru. Raihan yang ketika itu dianggotai Zairie Ahmad (Allahyarham), Nazrey Johani, Che Amran Idris, Abu Bakar Md Yatim dan Amran Ibrahim mempelopori konsep kontemporari dalam bernasyid dengan pendekatan baru lebih moden dengan irama lebih moderate serta acapella.

Album terbitan Farihin Abdul Fattah itu seterusnya mencetus fenomena dalam industri muzik tempatan apabila mencatat rekod jualan 600,000 unit.

Siapa sangka irama nasyid yang sebelum itu dianggap konservatif dan hanya layak dipersembahkan di majlis keagamaan menjadi irama paling popular.

Kejayaan Raihan kemudian membawa kepada kemunculan lebih banyak kumpulan nasyid antaranya Rabbani, Hijjaz, Brothers, Nirwana, NowSeeHeart, In Team dan banyak lagi.

Kemunculan mereka menjadikan irama nasyid mula mendapat tempat di pasaran muzik arus perdana yang sebelum ini dikuasai muzik rock, pop, dangdut, rap dan hip hop.

Itu fenomena yang dicetuskan nasyid lebih 10 tahun dulu. Walaupun nasyid bukan asing dalam industri muzik tempatan sejak era 80-an dengan kemunculan Al-Jawaher, Al-Mizan dan Ahmadi Hassan, Raihan berjaya meletakkan nasyid pada tahap membanggakan.

Umum mengetahui nasyid lagu bercorak keIslaman dan mengandungi kata-kata nasihat, kisah nabi, memuji Allah dan seumpamanya. Selain itu, nasyid cukup sinonim dengan unsur qasidah dan taranum dalam nyanyian serta penggunaan peralatan muzik yang minimum.

Ini disertai imej dan penampilan lebih Islamik seperti berkopiah, memakai jubah atau berbaju Melayu. Demikian identiti penyanyi nasyid yang membezakan mereka dengan penyanyi lain.

Bagaimanapun, melodi asal Tanah Arab itu yang pada awalnya membawakan alunan bercorak padang pasir kini sudah berubah dengan pelbagai rentak bercorak baru demi menjadikan lagu nasyid lebih menarik dan bersifat lebih daya saing dalam bidang seni.

Malah, penampilan artis nasyid turut berubah dengan anggotanya tidak semestinya berkopiah atau berbaju sedondon.

Sekali pandang, kita sendiri kadang-kadang sukar meneka yang mana satu kumpulan nasyid atau kumpulan pop jika tidak mendengar lagu atau menghayati lirik mereka.

Namun, apa yang kurang enak, pembaharuan yang cuba dilakukan sebenarnya secara tidak langsung menimbulkan kekeliruan mengenai apa sebenarnya nasyid. Identiti nasyid semakin lama semakin terhakis akibat terlalu mengejar elemen komersial.

Persoalan yang timbul ialah bagaimana hendak mengklasifikasikan lagu dan muzik nasyid? Apakah dengan hanya membawakan lagu dengan lirik berkonsep keIslaman dan ketuhanan menjadikan seseorang itu penyanyi nasyid?

Ada sesetengah kumpulan nasyid seolah-olah sudah terkeluar daripada landasan nasyid. Bagaimana mahu mengklasifikasikan mereka sebagai penyanyi nasyid jika imej mereka saling tak tumpah seperti kumpulan pop. Malah, ada di antara mereka menampilkan lagu berirama pop sehingga mengenepikan langsung identiti nasyid seperti qasidah dan taranum.

Ada juga yang tampil dengan gubahan lagu menggunakan alat muzik seperti gitar dan keyboard serta lirik mencintai kekasih wanita. Jadi, adakah mereka ini kumpulan nasyid?

Kadang-kadang kumpulan nasyid kelihatan seperti ‘kumpulan pop berkopiah’ kerana elemen nasyid sudah banyak hilang. Mungkin yang ada hanya irama nasyid yang minimum.

Identiti nasyid mereka hanya pada lagu yang liriknya menceritakan mengenai Islam dan ketuhanan, sedangkan irama lagu lebih kepada pop atau folk serta imej yang ‘menyimpang’ sebagai penyanyi nasyid. Inilah kekeliruan yang dimaksudkan.

Jika dengan hanya menyanyikan lagu ketuhanan sudah boleh dianggap penyanyi nasyid, apa bezanya penyanyi seperti Ramli Sarip, M Nasir dan Kopratasa dengan penyanyi nasyid sedia ada? Mereka yang sinonim dengan muzik rock dan folk sudah lama memperjuangkan lagu berkonsepkan ketuhanan sejak era 80-an lagi.

Lagu M Nasir, contohnya sarat dengan mesej ketuhanan dan Islam seperti KepadaMu Kekasih, Di Jalan Sesat, Raikan Cinta, Andalusia dan banyak lagi. Malah, penyanyi ini pernah menghasilkan lagu Demi Masa yang diilhamkan daripada surah al-Asr dengan firman Allah, “Demi masa! Sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka berpesan-pesanan dengan kebenaran serta berpesan-pesanan dengan kesabaran”.

Lagu berkonsep sedemikian turut diketengahkan kumpulan rock popular era 80-an seperti Search, Lefthanded, Wings dan BPR. Search dengan lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur, Lefthanded (Seruan, Satu Tidur Panjang, Semangat Lamina), Wings (Dari Tuhan, Alam Barzakh, Hukum Karma, Perhentian) serta BPR dengan lagu seperti Silaturrahim, Dajal dan Maghrib.

Sebenarnya boleh dikatakan hampir 100 peratus kumpulan rock pada waktu itu pasti menyelitkan dua atau tiga lagu berunsur ketuhanan di dalam setiap album mereka.

Berbalik kepada perkembangan nasyid, sebelum ia dikomersilkan oleh Raihan sebagai nasyid kontemporari, ia sudah bertapak kukuh dengan kumpulan seperti Nada Murni dan The Zikr yang bernaung di bawah pertubuhan Al-Arqam sebelum ia diharamkan.

Era nasyid Nada Murni, The Zikr, Al-Jawaher dan Al-Mizan sudah berkubur. Ia nasyid klasik yang tidak mendapat tempat dalam arus muzik perdana dan digantikan nasyid lebih moden.

Rabbani muncul selepas Raihan mencipta kejutan apabila tampil dengan penerokaan muzik lebih universal dan tidak terikat dengan irama padang pasir.

Menggunakan khidmat KRU selaku penerbit, Rabbani tampil dengan muzik dance dan R & B yang turut mengundang kontroversi berikutan khalayak tidak dapat menerima perubahan itu kerana menganggap Rabbani sudah jauh menyimpang dari landasan nasyid.

Kontroversi itu turut mendorong Rabbani bersama syarikat rakaman EMI menganjurkan forum bertajuk Di Manakah Ketulenan dan Arah Lagu Nasyid Kini? pada 2001 menampilkan beberapa tokoh agama dan pensyarah selaku panelnya.

Walaupun menampilkan sesuatu yang menyimpang dari segi muzik mengikut konsep nasyid, Rabbani masih mengekalkan tradisi nasyid dari segi nyanyian, penampilan, persembahan serta lirik lagu.

Selain itu, penganjuran program realiti Akademi Nasyid (AN) oleh TV9 dilihat antara usaha menaikkan taraf muzik nasyid ke peringkat lebih tinggi.

Ketua Pegawai Operasi TV9, Bukhari Che Muda, berkata misi program itu untuk melahirkan artis nasyid berkaliber dan menaikkan taraf muzik nasyid selain membawa kelainan terhadap industri muzik.

“Hasrat TV9 mengetengahkan program ini untuk menyampaikan dakwah dan mesej yang baik kepada penonton, memberi hiburan membina, membentuk akhlak bersesuaian dengan lagu ketuhanan dan keagamaan yang diperjuangkan. Malah, TV9 mengambil kira aspek pemakaian dan perilaku peserta,” katanya.

Katanya, TV9 juga ingin memberi ruang lebih luas kepada genre nasyid sekali gus mengangkatnya sebagai irama universal.

Cabangnya diperluaskan kepada kontemporari, puisi hingga acapella tanpa mengabaikan mesej melalui lirik yang baik, kreatif, segar dan menginsafkan.

Penganjuran program ini wajar diberi pujian berikutan usaha mereka untuk menaikkan taraf muzik nasyid.

Kesimpulannya, genre nasyid sebenarnya sukar untuk diberi pembaharuan. Imej nasyid sudah terlalu kuat dan ia wajib berada dalam lingkungan Islam dan positif. Aspek pemakaian dan personaliti perlu diberi perhatian tanpa mengira sama ada mereka kumpulan nasyid klasik atau kontemporari.

Mungkin apa yang boleh dilakukan bagi kumpulan nasyid moden ialah dengan tidak lagi menggunakan perkataan nasyid. Sebaliknya istilah pop dakwah lebih sesuai bagi mengelak kekeliruan dalam imej dan muzik yang mereka bawakan.

05 July 2008

BLOGPOLL: SOLO MANA PALING SEMPOI? (ROUND 2)

Masih ingat entry yang ini? Solo Mana Paling Sempoi? (Round 1)

Okey, firstly, terima kasih kepada Edd Vedder, Hanim Madewnus, Caspera, Zan, Zack, Sgns, Rising Dragon, Speedrider, Amir Fififudin, Karim, Aliph Jambeso dan CMK atas cadangan dan/atau undian korang. You guys rockkk!

Selepas mengambil kira pandangan dan pilihan diorang, inilah 10 solo rock kapak paling sempoi dan tangkap lentok yang telah disenarai pendekkan berdasarkan jumlah undian paling banyak:
(Nota: Senarai ini tidak mengikut ranking)

1. Srikandi Cintaku - Bloodshed
2. Dari Sinar Mata - Bumiputera Rockers
3. Sentuhan Kecundang - Ekamatra
4. Sketsa Sebuah Cinta - MAY
5. Fantasia Bulan Madu - Search
6. Isabella - Search
7. Meniti Titian Usang - Search
8. Sejuta Wajah - Sweet Charity
9. Taman Rashidah Utama - Wings
10. Sejati - Wings

Bermula dari hari ini, 5 Julai 2008, bermulalah pusingan kedua (Round 2) Blogpoll ini. Inilah masa untuk korang semua menentukan solo yang mana paling sempoi (aka paling tangkap lentok, aka paling dahsyat, aka paling mengancam, aka paling sedap etc.). Caranya senang saja. Sila tengok online poll di sebelah kanan, atas, blog ini. Daripada senarai itu, pilih LIMA (5) solo yang korang rasakan paling sempoi (P/s: Undi sekali je, okey? Tapi kalau terlebih rajin tu, ikut suka lah. Hehehehe...).

Blogpoll (Round 2) ini akan ditutup pada 7 mlm, 5 SEPTEMBER 2008. Keputusan 10 solo paling sempoi dan mengikut ranking, akan diketahui selepas itu, worait?

So, apa tunggu lagi? Undi sekarang! ;-)

30 June 2008

ROCK REVIVAL CARA BLACK TIDE


"Listening to the debut album from Miami's Black Tide is a little like stumbling across a cool late-80s metal record you'd completely forgotten about.
A very promising debut."


(Dan Epstein of Revolver Magazine on Black Tide's debut album 'Light From Above').


Apabila mendengar muzik Black Tide, hanya ini yang terlintas di fikiran: Satu 'kelahiran semula' rock 80an. Band yang berasal dari Miami, Florida, Amerika Syarikat ini ditubuhkan pada 2004 oleh Gabriel Garcia (vokal/gitar), Alex Nuniz (gitar), Zakk Sandler (bass) dan Steven Spence (dram). Sebenarnya mereka tidak pernah merasai sendiri detik-detik ketika genre seperti heavy metal atau thrash metal berada di kemuncaknya, kerana ketika itu ada di antara mereka yang baru dilahirkan ataupun belum pernah langsung melihat dunia! (Vokalisnya baru berumur 15 tahun, dan line-ups yang lain berusia 20 tahun ke bawah).

Mungkin ada yang menganggap tidak ada elemen yang baru tentang muzik Black Tide ini. Tetapi, jangan lupa. Bukan mudah untuk membawa dan menghidupkan kembali genre yang pernah 'meletup' dan mencorakkan satu revolusi dalam industri muzik dunia 20 tahun dahulu. (Lihat sahaja band kita, Revenge dan perjuangan "kita kasi pecahh!" mereka).

Dan seperti Revenge, Black Tide juga memiliki tenaga, skil, stail dan keberanian yang cukup untuk 'melahirkan semula' oldschool rock ke dunia yang baru hari ini.

Klik sini untuk info lengkap:-
Black Tide Official Website
MySpace
Wikipedia

Tengok sini dan nilaikan Black Tide:-
(Ini bukan klip video rasmi)

Lagu: Shockwave
Album: Light From Above (2008)

24 June 2008

IRONI RAMBUT PANJANG DAN RENTAK JUARA



Selepas menonton pertandingan akhir Rentak Juara Rhythm of Champions 2008 pada Ahad lepas, teringat pulak pada satu entry blog Yatt tentang satu detik hitam yang tercatat dalam sejarah evolusi muzik rock Malaysia.

Pada 1 November 1992, RTM melalui rancangan Selamat Pagi Malaysia telah menyiarkan siaran langsung upacara menggunting rambut dua ikon rockers Malaysia iaitu Amy (Search) dan Awie (Wings) oleh Menteri Penerangan, Datuk Mohamed Rahmat di Auditorium Besar Angkasapuri. Upacara yang dikatakan 'simbolik' itu diadakan sejajar dengan 'usaha' kerajaan untuk memastikan setiap artis (baca: rockers sahaja) tampil dengan imej yang sopan dan bersih, dan tidak lagi berambut panjang.

Dan siapa sangka, kedua-dua rockers yang pernah diperlekehkan 16 tahun dulu, dipertemukan semula dalam satu situasi yang berbeza. Ahad lalu, di Stadium Malawati Shah Alam (di atas set pentas yang dibawa keluar dari RTM), Amy dan Awie telah diberikan pengikhtirafan. Awie yang masih berambut panjang dengan sedikit calitan warna perang, diberikan tanggungjawab untuk menjadi salah seorang juri pertandingan akhir Rentak Juara. Amy pulak, yang sudah botak tapi tetap stailo, diberikan tanggungjawab untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang saguhati.

Hmm, terharu melihat karma. Sangat ironic.

16 tahun dulu, penonton Selamat Pagi Malaysia hanya berpeluang melihat gambar ketika acara itu berlangsung kerana berlaku gangguan suara. Hanya selepas separuh acara itu berlangsung, barulah kesilapan teknikal itu berjaya diperbetulkan. Dan nampaknya, 'reputasi' ini masih berjaya dikekalkan sehingga malam Ahad lalu. Ye lah, kali ini penonton bukan saja dapat menonton tiga pengacara bersuara tanpa berbunyi, tetapi juga dapat menonton mereka bertiga tiba-tiba mengacara dalam gelap! Rare tu, sangat mengiburkan! (Pstt! 'Syabas' Zed Zaidi! Jangan lupa nota tau! Terima kasih jugak kerana tak cuba ambik kesempatan dan nyanyi "Sembilu Kasih". Hehehe.)

Sejujurnya, tidak banyak yang boleh diperkatakan tentang Rentak Juara 2008. Kualiti band-band yang bertanding semakin menurun jika dibandingkan ketika ia mula-mula diperkenalkan pada 2004; tidak ada elemen-elemen yang segar. Agak kecewa juga melihat kebanyakan band masih lagi lebih selesa mempersembahkan lagu-lagu cover daripada lagu-lagu ciptaan sendiri. Selain produksi yang kelihatan agak kelam-kabut, band-band jemputan juga tidak banyak membantu memulihkan rentak acara malam itu.

Walau bagaimanapun, Rentak Juara wajar diteruskan kerana ia adalah antara platform yang baik dan adil untuk mengenengahkan bakat-bakat baru di Malaysia ini. Tenaga produksi pertandingan ini masih ada dua tahun untuk menilai semula dan memperbaiki kelemahan yang ada.

Apa pun, tahniah kepada Aisunam, Cherish 2000 dan Carbolic Smokeballs!

Dan tahniah juga kepada Amy dan Awie. Korang berdualah juara sebenar-benarnya! ;-)

Sila klik SINI untuk membaca salah satu ulasan yang mantap mengenai Rentak Juara 2008.

19 June 2008

SLAVEN BILIC, CROATIA & RAWBAU






BOLA, bola jugak, tapi rock tetap rock.

Sapa-sapa yang follow team Croatia tentu perasan dengan coach diorang, Slaven Bilic (gambar) yang nampak agak cool, rugged dan yang pasti, macam rocker.

Ya, Bilic memang rocker pun dan dia juga adalah gitaris band rock Croatia iaitu Rawbau yang ditubuhkan pada 2001. Untuk Euro tahun ini, Rawbau rakam satu lagu khas untuk team Croatia berjudul "Vatreno Ludilo" (Fiery Madness).

Untuk rekod, sebagai pemain Bilic yang juga defender adalah antara anggota skuad Croatia yang mencipta kejutan mendapat tempat ketiga dalam Piala Dunia 1998 di Perancis bersama dengan bintang-bintang Croatia lain seperti Davor Suker, Zvonimir Boban, Robert Prosinecki dan Mario Stanic.

Selain itu, Bilic yang sering menggunakan gitar Gibson Explorer berwarna merah juga pernah bermain untuk West Ham dan Everton dalam EPL pada tahun 90-an dulu.

Cuba layan lagu diorang kat bawah ni. Mantap!





Ini lyric dalam English :

We were together in 98′ World has heard of us And still the bronze medal shines
When Japan, Holland, Romania, Germany have fallen


And now, 10 years later

Again the same hope, we have the same dream

We have the tickets, backpacks, and a crest on our chests (Crest 3x)


Fieeery Madness, when it starts,
Fieeery
Let everything burn when through our veins
Red,white and blue starts flowing

11 June 2008

JANGAN JALAN RABA, RABA??...

Tinggal beberapa hari saja lagi untuk semua rockin' daddies meraikan Hari Bapa bersama Sweet Charity di PWTC, kan? Dan khabarnya ada 100 pembaca bertuah Berita Harian akan diberi peluang untuk menonton band ni buat full rehearsal sebelum showcase tu. Sempoilah.

Anyway, sementara tu, apa kata kita semua layan klip ini:



Btw, bercakap pasal Sweet Charity, JANGAN LUPA join BLOGPOLL kitorang. "Sejuta Wajah" adalah antara lagu-lagu yang termasuk dalam senarai. Wokey, brader? ;-)

22 May 2008

BLOGPOLL: SOLO MANA PALING SEMPOI? (ROUND 1)


Buat pertama kalinya HANYA RAWK N ROLL menjemput korang semua membuat undian secara online (online-poll) untuk memilih solo gitar lagu rock kapak (BAND sahaja) yang paling sedap atau dalam slanga rocknya, tangkap lentok.

Undian ini hanya melibatkan lagu-lagu slow rock dahulu (undian untuk lagu-lagu heavy mungkin kemudian). Kita tak akan menilai solo tersebut daripada aspek teknikal, tetapi sekadar menilai keindahan, tentang sedap tak sedapnya sesuatu solo itu, serta sejauh mana solo tersebut pernah meninggalkan kesan paling maksima dalam emosi diri korang semua.

Undian ini akan dibuat dalam dua peringkat, Round 1 (proses senarai pendek) dan Round 2 (proses undian).

Kita ketepikan dulu Round 2, okey?

Sekarang, dalam Round 1 ini, korang dikehendaki memilih 10 solo yang korang rasakan paling tangkap lentok daripada senarai berikut:
  1. Simfoni 14/2 - Blackrose
  2. Srikandi Cintaku - Bloodshed
  3. Nostalgia Rindu - Bloodshed
  4. Seribu Tahun Takkan Mungkin - BPR
  5. Dari Sinar Mata - BPR
  6. Cita Dan Airmata - CRK
  7. Realiti Dan Fantasi - Crossfire
  8. Sentuhan Kecundang - Ekamatra
  9. Pusara Di Lebuh Raya - Ekamatra
  10. Dua Insan Bercinta - Ella & The Boys
  11. Penantian - Febians
  12. Masih Aku Terasa - Gersang
  13. Maya Persada - Lefthanded
  14. Pencinta - Lefthanded
  15. Lagenda Cinta - Lefthanded
  16. Sketsa Sebuah Cinta - MAY
  17. Tika Dan Saat Ini - Medicine
  18. Tiada Lagi Aku - Rusty Blade
  19. Pertama Dan Terakhir - Rusty Blade
  20. Isabella - Search
  21. Sutera Atau Rayon - Search
  22. Meniti Titian Usang - Search
  23. Kejora - Search
  24. Fantasia Bulan Madu - Search
  25. Rozana - Search
  26. Bisa - Search
  27. Sejuta Wajah - Sweet Charity
  28. Biarkan Berlalu - Wings
  29. Taman Rashidah Utama - Wings
  30. Intan Ku Kesepian - Wings
  31. Sejati - Wings
  32. Aku Pun Tahu - Wings (calon baru)
  33. Belenggu Irama - Wings (calon baru)
Ingat! Dalam Round 1 ini, sila pilih 10 lagu sahaja (tak payah buat ranking sendiri; tulis nombor lagu sudah memadai) dan hantarkan respon korang di entri blog ini sebelum 30 JUN 2008. Itu saja. Kacang, kan?

Jika ada sebarang kemusykilan, boleh e-mel: headbanger31@yahoo.com, atau tinggalkan mesej di ShoutBox. Dan ya, kitorang boleh masukkan cadangan solo yang dirasakan layak disenaraikan asalkan ada hujah-hujah bernas korang, worait?

So apa tunggu lagi, pilih jangan tak pilih!... (Nota: Round 2 akan bermula 1 Julai nanti. Masa tu nanti baru kita sama-sama RANK solo mana paling sempoi).


TERINGAT DULU-DULU?

Terjumpa yang ini semasa sedang spring cleaning di rumah...

RUSTY BLADE
Dari kiri: Zan (dram), Khalid Mobin (gitar), Razak (bass), Yantzen (vokalis) & Izad (gitar)

20 May 2008

MEMORABILIA: KASUT RASMI ROCKERS MALAYA


Haha! Amacam? Sempoi kan? Sebenarnya, aku pesan kasut Aliph yang sebijik macam yang ini daripada member aku yang memang rajin membuat 'misi' mencari memorabilia rock kapak. Member aku tu pun dikenali sebagai "Aliph" di kalangan geng-geng port kat Lagenda Rock Online. Katanya dia beli kasut ni di pekan Slim River, Perak. Apa pun, terima kasih la ye, Encik Aliph aka Jambeso! Wa caya sama lu! (Nanti teman amik kasut tu ye?)

Yang ni koleksi Aliph.

Yang ni pun.

Kata dia: "Letak sejuta pun teman tak juey (jual)!! Ekekekee..."

(All pixs by Aliph)

18 March 2008

BELASUNGKAWA: ABD JALIL NGAH (1957 - 2008)

AL FATIHAH. Seorang lagi individu yang banyak berbakti untuk industri muzik tempatan (terutama pentas muzik rock) kembali ke rahmatullah.

Allahyarham Abd Jalil Ngah, 51, meninggal dunia akibat sakit jantung kira-kira jam 7 pagi, 18 Mac 2008. Arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Masjid Siti Khadijah, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Jalil yang juga Pengarah dan Pengarah Kreatif AVXS Sdn Bhd cukup sinonim dengan bidang produksi konsert, sistem pencahayaan dan rekaan pentas sejak 20 tahun lalu.

Berikutan tugasnya lebih banyak di balik tabir, mungkin tidak ramai yang mengenalinya. Tetapi bagi yang terbabit secara langsung dalam produksi dan pengurusan konsert, Jalil adalah antara yang terbaik. Hampir semua konsert-konsert mega membabitkan Search dan Wings pada era 80-an dan 90-an dulu menggunakan kepakaran dan daya kreativitinya.

Jalil juga adalah abang kepada komposer terkenal, Manan Ngah dan adik kepada kartunis / pelukis Fatah Ngah (popular dengan siri kartun Lagak A Mamud dalam Gila-Gila).

Video klip “Isabella” persembahan Search adalah hasil arahan Jalil ketika mula berjinak-jinak dalam bidang pengarahan.

Di bawah ini adalah artikel mengenai Jalil yang aku tulis untuk Harian Metro pada 8 September 2004 lalu. Tiga hari sebelum itu, temubual bersamanya berjalan di pejabat AVXS yang juga sebuah rumah banglo di kawasan elit Robson Heights, Kuala Lumpur, tak jauh dari Mid Valley.

* * * * * * * * * *

BAYANGKAN sebuah pentas yang besar. Ia dihiasi peralatan disusun denganbegitu kreatif sekali berserta sistem pencahayaan canggih. Siapa yang menghasilkannya?

Itulah tugas Pengarah dan Pengarah Kreatif AVXS Sdn Bhd, Abd Jalil Ngah, 47. Dalam bidang produksi dan rekaan pentas di sini, nama beliau sememangnya tidak asing lagi. Pengalaman lebih 20 tahun menjadikan nama Jalil cukup sinonim dalam bidang berkenaan. AVXS Sdn Bhd ditubuhkan pada 1992 terbabit secara langsung dalam rekaan pentas, konsert, klip video
dan iklan komersial.

"Kami menawarkan pendekatan menyeluruh daripada konsep, rekaan, bantuan teknikal dan produksi untuk konsert, pelancaran produk dan acara tertentu. Kesempurnaan adalah fokus utama kami di AVXS di samping tahap profesionalisme dan kreativiti yang tinggi," katanya.

Antara konsert dan acara yang membabitkan AVXS secara langsung ialah Konsert Legenda Sheila Majid, Raihan (Singapura), sebahagian besar konsert solo M Nasir, Ella Tour, Anugerah Industri Muzik (AIM), Anugerah Sukan Negara (1997 hingga 2000) dan Penang World Film Festival.

Manakala yang terbaru pula ialah Konsert Mohram di Istana Budaya, Search (Pulau Pinang), Konsert Ambang Merdeka (Putrajaya) dan persembahan delegasi filem Puteri Gunung Ledang di Festival Filem Venice, Itali baru-baru ini.

Apa yang dimiliki Jalil sebenarnya adalah titik tolak kepada minatnya yang begitu mendalam terhadap rekaan pentas dan set. Selepas menamatkan pengajian dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), beliau terlebih dahulu mencari pengalaman dengan bekerja sebagai pelukis ilustrasi dan Pengarah Seni di beberapa agensi pengiklanan selama lima tahun.

"Sukar nak gambarkan mengapa saya amat meminati bidang ini. Ia datang dengan sendiri berikutan minat mendalam dalam seni. Saya akan puas apabila orang suka melihat hasil kerja saya," katanya.

Kerjaya sebenarnya dalam bidang rekaan set dan pentas bermula apabila beliau bekerja di TV3 sebagai pereka set pada penghujung 80-an. Set terawal program terkenal TV3 iaitu Muzik Muzik adalah hasil rekaan Jalil. Ini diikuti Golden Kite World Song Festival anjuran TV3 dan Penerbangan Malaysia (MAS) pada 1990.

"Ketika bersama TV3 saya mula mengembangkan kerjaya saya. Selepas mahir dalam rekaan set dan pentas, saya belajar mendalami bidang pencahayaan dan seterusnya produksi. Saya tidak mengikuti mana-mana kelas, semuanya belajar sendiri dan kelas rasmi saya ialah dengan banyak bertanya kepada orang yang lebih berpengalaman serta berani mencuba," katanya.

Ketika itu juga Jalil mula berjinak-jinak dengan bidang pengarahan terutama klip video. Klip video lagu popular kumpulan Search iaitu 'Isabella' adalah arahan Jalil. Penggambaran yang dilakukan di Pantai Morib, Banting itu turut mengetengahkan Julia Rais sebagai model malah
bertitik-tolak dari situ, beliau seterusnya berjaya mengukir nama sebagai model dan pelakon terkenal.

Dari segi lontaran idea, Jalil selalunya akan mengkaji produk pelanggannya terlebih dahulu. Menurutnya, ia adalah aspek paling penting sebelum beliau memberikan ideanya bersama bahan rujukan lain. Beliau akan memberikan rekaan pentas dan pencahayaan yang tidak akan ditolak pelanggan.

"Itu pentingnya kreativiti dan komitmen. Saya tidak mahu membuat kerja dengan tangkap muat. Jika pelanggan memberi idea yang saya rasakan tidak sesuai, saya akan bangkang walaupun itu adalah produknya. Mungkin nampak kurang elok tetapi pada masa sama saya sebenarnya membantu mereka dari segi idea," kata Jalil yang banyak dibantu kakitangannya dalam memerah idea di samping pengalaman.

Menurut Jalil, bidang yang diceburinya memerlukan seseorang yang tidak mementingkan diri sendiri. Idea yang dihasilkan perlu fleksibel dan mereka perlu tahu apa yang penonton rasa serta lihat. Ini termasuk citarasa daripada pelbagai golongan sama ada orang kampung, 'rockers'
sehinggalah kepada golongan elit.

"Dalam sesuatu persembahan itu, ada yang beranggapan ia hanya akan ditonton golongan elit sahaja dan pendekatannya juga perlu lebih elit. Ini adalah pandangan yang salah. Tidak semestinya persembahan yang biasa dibuat di Istana Budaya tidak boleh dipersembahkan di pentas terbuka di Chow Kit!" katanya.


* Video klip "Isabella" di Pantai Morib, Selangor hasil arahan arwah Jalil


05 November 2007

INDON INVASION

Kreativiti kita mampu hadapi muzik seberang (Dipetik dari Harian Metro 16 Oktober 2007)


MAJORITI insan seni dalam industri muzik tempatan kurang senang dengan kebanjiran dan lambakan artis Indonesia di negara ini sejak akhir-akhir ini. Isu itu makin ketara apabila segelintir stesen radio swasta didakwa memutarkan lebih banyak lagu Indonesia berbanding karya tempatan.

Kebanyakannya mendakwa stesen radio memberi laluan sangat mudah kepada penyanyi Indonesia tanpa tapisan dan birokrasi. Ia sangat berbeza dengan nasib yang dihadapi penyanyi kita jika hendak mencuba nasib di sana. Justeru, vokalis kumpulan Search, Suhaimi Abdul Rahman atau Amy serta penyanyi, Hattan, baru-baru ini, tampil meluahkan kekecewaan secara terbuka terhadap pengurusan stesen radio terbabit yang seolah-olah menutup periuk nasi penyanyi tempatan.

Jawapan daripada pengurusan beberapa stesen radio pula bernada sama iaitu berdasarkan permintaan pendengar. Pengurus Besar Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul dipetik sebagai berkata, lima lagu yang mereka minta pendengar senaraikan, tiga daripadanya adalah lagu artis Indonesia.

Bagaimanapun, 'serangan' karya muzik dari negara seberang itu bukan perkara baru. Sejak era 70-an dan 80-an, pendengar kita sudah terpegun dengan lagu dendangan penyanyi Indonesia seperti Broery Marantika, D'Lloyd, Bob Tutupoli, Hetty Koes Endang, Ebiet G Ade, Tommy J Pisa dan Endang S Taurina.

Senario itu berterusan pada lewat era 90-an dengan kemasukan kumpulan muzik rock dan pop Indonesia seperti Gigi, Sheila On 7, Dewa 19, Padi dan Element. Waktu itulah bermulanya 'penaklukan' kumpulan muzik Indonesia dalam industri muzik kita. Sambutan hebat peminat di sini terhadap mereka membuatkan kemasukan artis Indonesia lebih mudah. Maka, tibalah kumpulan muzik lain seperti Radja, Samsons, Ungu, Slank dan terbaru, Kerispatih dan Letto.

Apa yang pasti, kehadiran mereka mendatangkan pelbagai implikasi. Penggiat seni tempatan mula berasa tercabar dan dianaktirikan apabila penaja lebih gemar menaja konsert artis Indonesia berbanding artis tempatan. Alasan peminat muzik tempatan pula, lagu Indonesia lebih sedap didengar dan berkualiti dari segi susunan muzik, vokal serta penghasilan lirik.

Mohd Nazri Khairuddin, 28, seorang peminat muzik dari Shah Alam, mula mengikuti perkembangan muzik dari Indonesia sejak enam tahun lalu. Beliau yang amat meminati kumpulan Gigi dan Dewa 19 mengakui kelebihan dua kumpulan rock dari negara jiran itu.

"Kumpulan rock dari Malaysia pula lebih statik dengan lirik yang hanya bertemakan keseronokan dan kekecewaan dalam percintaan. Muziknya pula mendayu-dayu, meleleh dan tidak kreatif," katanya.

Warga Indonesia sebenarnya cukup bangga dengan apa yang dicapai artis mereka di sini. Media dan forum laman web di Indonesia memperkecil, menghina dan memperlekeh muzik dan penyanyi Malaysia. Mereka mengatakan radio Malaysia suka siarkan lagu Indonesia sebab penyanyi atau muzik Malaysia tidak ada kelas berbanding penyanyi mereka.

Persoalannya, benarkah dakwaan mereka itu? Apakah Malaysia sudah ketandusan penyanyi dan kumpulan muzik hebat?

Nama-nama besar dalam arus muzik perdana seperti M Nasir, Ramli Sarip, Jamal Abdillah, Search, Wings, Zainal Abidin, Sheila Majid, Exists, Spider, Mohram dan Datuk Siti Nurhaliza memang sudah dikenali dan nama inilah yang menjadi kebanggaan industri muzik Malaysia.

Dalam konteks kumpulan muzik, mungkin ramai yang tidak tahu kita sebenarnya kaya dengan anak muda yang berbakat besar. Menariknya, mereka ini lebih kreatif dengan menerbit, mencipta dan menggubah lagu sendiri.

Mungkin tidak ramai mengenali nama seperti Meet Uncle Hussain, Couple, Muck, Bittersweet, Freelove, Pop Shuvit dan banyak lagi. Kebanyakannya walaupun bergerak sendiri, tetapi dalam diam-diam mampu menembusi bukan setakat pasaran Indonesia, tetapi Thailand, Jepun, Filipina malah ke Amerika Syarikat (AS).

Couple, kumpulan muzik dari Ipoh pernah dipilih majalah muzik terkenal AS, Rolling Stone sebagai antara 25 kumpulan muzik terbaik dari laman web MySpace. Malah, lagu mereka pernah berkumandang di stesen radio di Amerika Utara. Jika dibandingkan dengan kumpulan muzik Indonesia, mereka tidak jauh bezanya, malah mungkin lebih hebat.

Dengan bakat yang ada, kita sebenarnya mampu untuk menawan pasaran muzik Indonesia. Artis yang sedia ada mungkin perlu tampil dengan idea kreatif serta mencipta 'trend' baru daripada sekadar mengkritik saja.

Sejarah sebenarnya sudah membuktikan kita pernah menawan pasaran muzik seberang. Kumpulan Search pada lewat 80-an pernah mencetus revolusi muzik rock di Indonesia yang sebelum itu hanya popular dengan muzik jazz, R & B dan pop di pasaran muzik arus perdananya.

Populariti Search di Indonesia membuatkan syarikat rakaman di sana mula menerima kumpulan rock mereka sendiri. Kumpulan Slank dari Jakarta adalah antara pelopornya yang terpengaruh dengan Search dan kini muncul sebagai kumpulan rock paling berjaya di Indonesia.

Vokalisnya, Kaka ketika berkunjung ke Kuala Lumpur, awal tahun ini mengakui kehadiran Search membuatkan pasaran muzik rock di Indonesia lebih terbuka.

"Waktu itu memang banyak kumpulan rock di Indonesia, tetapi mereka tidak berpeluang merakamkan album kerana syarikat rakaman tidak yakin dengan muzik rock. Kehadiran Search yang mendapat sambutan hebat membuatkan mereka mula membuka mata terhadap muzik rock," katanya.

Malangnya, usaha yang dilakukan Search tidak berterusan sehingga mereka pula yang berlumba-lumba masuk ke pasaran sini.

Sebenarnya kebanjiran artis Indonesia di sini bolehlah disamakan dengan senario 'British Invasion' yang berlaku di AS pada tahun 60-an dan 70-an. 'British Invasion' menyaksikan kemasukan artis British ke AS sekali gus
mencetus fenomena dalam industri muzik di AS.

Kebanjiran penyanyi dan kumpulan rock British seperti The Beatles, Rolling Stones, Led Zeppelin, Black Sabbath, Pink Floyd, Deep Purple, David Bowie, Elton John membuatkan penggiat seni di AS tidak senang duduk. Malah, mereka berusaha untuk menyekat kemasukan artis British.

Bagaimanapun, tindakan menyekat kemasukan artis Indonesia di sini bukan jalan penyelesaian terbaik. Kita seharusnya perlu tampil dengan idea lebih kreatif, unik dan tersendiri. Individu atau pihak berpengaruh dalam industri muzik seharusnya memberi lebih banyak ruang kepada bakat baru tempatan.

P/S : Errr... Ada sapa-sapa setuju dengan artikel ni?

11 June 2007

BANG YOUR HEAD - Lima Dekad Satu Transisi (Siri 2)

50AN ERA LAGU MELAYU KE PIRING HITAM


Joget merupakan antara genre yang popular pada 50an, begitu juga Rumba dan Samba. Kedua-dua genre ini juga dikenali sebagai Joget Moden (kerana adanya penggunaan instrumen muzik Barat seperti piano, gitar, bongo dan maracas) dan sering dimainkan di dewan-dewan tarian dan kabaret-kabaret.

Sekitar 50an, lagu-lagu Melayu dan lagu-lagu filem yang menjadi pujaan ramai mula dirakamkan ke piring hitam dan antara studio yang paling canggih pada masa itu ialah Mac Donald House, Orchard Road, Singapura. Semua rakaman dibuat dengan menggunakan alat perakam pita EMI yang paling moden dan pita-pita rakaman kemudiannya akan dihantar ke Britain untuk proses memindahkan lagu-lagu yang siap ke piring hitam. Antara syarikat-syarikat rakaman yang terkenal pada masa itu ialah Columbia Records, Pathe, Parlophone dan His Master’s Voice atau HMV yang mana piring hitamnya tercetak gambar seekor anjing yang sedang mendengar lagu dari peti gramofon.

Pada akhir tahun 40an dan awal 50an, terdapat ramai penyanyi wanita yang mula mencipta nama dalam arena seni suara. Antaranya ialah Rubiah, Rokiah Hanafi, Momo, Lena, Sutinah dan Asiah. Nyanyian mereka biasanya diiringi Rayuan Kencana Orkestra, salah sebuah orkestra terbaik di Malaya di bawah pimpinan Osman Ahmad. Rubiah, anak murid Ahmad Jaafar (penggubah lagu terkenal sekitar 50an-60an) ialah penyanyi wanita paling popular sekitar 40an dan 50an. Antara lagu-lagunya yang diminati ramai ialah “Bunga Tanjung”, “Teratai”, “Kuala Deli” dan “Melati”. Suaranya sering menggantikan suara pelakon Kasma Booty dalam adegan-adegan nyanyian filem Melayu.

P. Ramlee lebih banyak merakamkan lagu di bawah syarikat Pathe dan antara lagu-lagunya ialah “Di Renjis-Renjis”, “Azizah”, “Satay” dan “Baidah”. Lagu popular beliau bersama label Parlophone ialah “Malam Bulan Di Pagar Bintang” (berduet dengan Saloma).

(Bersambung)

Contoh piring hitam HMV

06 June 2007

BANG YOUR HEAD - Lima Dekad Satu Transisi (Siri 1)

'LIMA DEKAD SATU TRANSISI' - Demikian tajuk sebuah siri pengembaraan dan muzikal tanahair selama setengah abad (lebih kurang macam 'timeline' la) yang pernah kami tulis bersama pada 2005. Idea untuk menulisnya timbul selepas letih membelek-belek 'timeline' sejarah muzik mat saleh di majalah-majalah seperti Rolling Stones. Hmm, bila pulak kita nak buat 'timeline' sendiri kan? Setelah jenuh memerah otak, membuat research, bertanya pada otai-otai dan bertekak laki bini (hehe), artikel ini akhirnya telah tersiar dalam majalah ROTTW isu ke-100 (Mac 2005).

Mungkin ada yang pernah membacanya; tetapi, sekadar ingin mengimbau kenangan, kami paparkan di blog ini dalam 9 siri. Sit back, relax and happy reading!...

*****************************************
Tenat! Inilah gambaran terhadap industri muzik tempatan kini. Namun begitu, jika kita menoleh ke belakang industri muzik kita memiliki banyak pencapaian dan sejarah menarik yang boleh dibanggakan.

Mari kami bawa anda menyusuri detik-detik bersejarah yang membawa evolusi serta ikon-ikon yang membawa perubahan besar dalam industri muzik tempatan selama lima dekad. Dan, di manakah anda ketika itu?

50an

  • Pada 1951, penyanyi-penyanyi Melayu yang terdiri daripada P. Ramlee, Asiah, Momo dan Lena telah merakamkan lagu-lagu Melayu buat kali pertama di HMV (His Master’s Voice) Studio di Singapura. Penyanyi-penyanyi ini merakamkan suara mereka dengan iringan orkestra dengan menggunakan empat perakam suara di atas sejenis pita lentur (diperbuat daripada ‘cellulose acetate plastic’ yang disadur habuk oksida ferrix) yang membolehkan rakaman dibuat berulang-ulang, dipadamkan atau dirakamkan kemudian. Setiap pita itu boleh menampung lima rakaman. Selesai rakaman, pita-pita tersebut dihantar ke Calcutta atau Hayes, Middlesex, England untuk dipindahkan ke piring hitam.

60an
  • Panca Sitara telah ditubuhkan pada tahun 1960. Ianya merupakan sebuah kumpulan vokal harmoni yang terdiri daripada Aziz Jaafar, Normadiah, P. Ramlee, Ahmad C dan Kassim Masdor. Pemuzik-pemuzik yang mengiringi kumpulan pimpinan P. Ramlee ini ialah Ahmad Kassim (piano), Yusof B (teno-saxaphone), Osman Ahmad (double bass) dan A. Rahim (dram). Sebenarnya, P. Ramlee menubuhkan Panca Sitara bukan saja untuk memberi satu corak baru kepada lagu-lagu Melayu, tetapi untuk membendung pengaruh muzik pop Barat seperti The Beatles dan The Platters yang diikuti oleh pop yeh-yeh. Bagi P. Ramlee muzik pop begitu “hanya mementingkan bunyi yang kuat dari mutu lagu itu sendiri”.
  • P. Ramlee Keroncong Orkes telah ditubuhkan pada Oktober 1960 oleh P. Ramlee untuk menghidupkan kembali lagu-lagu keroncong. Sebahagian besar ahli-ahli orkes ini terdiri daripada mereka yang terlibat dengan Panca Sitara dan orkes ini telah mendapat sambutan hangat di Malaysia, Singapura dan Brunei.
  • M. Osman mempelopori muzik pop yeh-yeh dan menjadi penyanyi pertama yang merakamkan lagu-lagu pop Melayu ke piring hitam pada tahun 1965 di Singapura. Bekas wartawan hiburan yang diisytihar ‘Raja Pop Yeh-Yeh’ ini mempopularkan lagu “Suzana” – lagu berirama pop yeh-yeh yang pertama.

70an
  • P. Ramlee membentangkan kertas kerjanya bertajuk “Cara-cara Meninggikan Mutu dan Memperkayakan Muzik Jenis Asli dan Tradisional Malaysia Demi Kepentingan Negara” di Kongres Kebudayaan Kebangsaan pada 16-20 Ogos 1971. Antara usul-usulnya ialah supaya muzik asli dan tradisional dijadikan satu matapelajaran di sekolah-sekolah dan menggalakkan kelab-kelab malam, hotel-hotel dan restoran-restoran memperdengarkan muzik genre tersebut.
  • Sharifah Aini dianugerahkan gelaran ‘Penghibur Wanita Paling Popular’ oleh PAPITA (Persatuan Penghibur Tanah Air) pada tahun 1979. Beliau juga ialah penyanyi yang pertama digelar ‘superstar’ dalam bidang seni suara tanahair. Lagu pertama yang menjulang nama beliau sebagai penyanyi pujaan ialah “Seri Dewi Malam” yang diterbitkan pada tahun 1968 ketika beliau berusia 15 tahun.
  • Kumpulan rock orang asli pertama di Malaysia, The Honesty, telah ditubuhkan pada tahun 1974. The Honesty dianggotai oleh enam anak muda keturunan Mah Meri yang mendiami sebuah perkampungan orang asli di Gombak. Walau bagaimanapun, kumpulan yang versatile ini hanya mula popular pada tahun 1987.

80an

  • Siri konsert Battle of The Bands dengan tema ‘Basmikan Cetak Rompak’ bermula pada 1986. Ia berlangsung di Stadium Negara dan mendapat sambutan hebat dengan menampilkan artis seperti Search, SYJ, Ali Sobree & Bloodshed, Rahim Maarof & Whitesteel, Headwind, Dr Sam & Musafir, Ella & The Boys, Rahim Hamzah & Vet Blues, Ito Blues Gang dan Hamzah Dolmat. Ini adalah pencetus kepada era ekplosif rock. Kerajaan hampir mengharamkan muzik rock apabila berlaku rusuhan semasa konsert Battle of the Bands di tapak pesta Sungai Nibong, Pulau Pinang pada 1986!
  • Sudirman Hj. Arshad diisytihar ‘Penghibur Terbaik Asia’ selepas memenangi Anugerah Muzik Popular Asia pertama yang berlangsung di Royal Albert Hall, London pada 19 Mac 1989. ‘The Singing Lawyer’ ini mengalahkan lapan peserta yang lain dengan persembahan hebatnya melalui lagu “One Thousand Million Smiles” dan “Send In The Clown”.
    Antara penghibur popular Asia yang ditewaskannya ialah Leslie Cheung (Hong Kong) dan Anita Sarawak (Singapura).
  • Sebelum itu Sudirman juga mencatat sejarah apabila mengadakan konsert percuma di Chow Kit, Kuala Lumpur. Sesuai dengan gelarannya sebagai penghibur rakyat, konsert berkenaan berjaya menarik lebih 100,000 penonton penuh sesak sepanjang Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
  • Aishah menjadi penyanyi pertama di Malaysia terpilih sebagai Bintang Pepsi pada tahun 1989. Album ‘Sensation’ nyanyian Aishah bersama kumpulannya, Fan Club (dari New Zealand), telah menaikkan namanya di peringkat antarabangsa.
  • 80an menyaksikan kemuncak karier Alleycats. Ditubuhkan pada tahun 1968 di Pulau Pinang, Alleycats ialah band bukan Melayu paling berjaya, paling lama bertahan dan paling banyak menerima anugerah gold disc di negara ini. Antara album mereka yang berjaya terjual melebihi 50,000 dan 80,000 unit ialah ‘Suara Kekasih’ (1985), ‘Sampaikan Salam Cintaku’, ‘Hingga Akhir Nanti’ (1980), ‘Andainya Aku Pergi Dulu’ (1982) dan ‘Kerana’ (1984).

90an
  • P. Ramlee telah dianugerahkan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran ‘Tan Sri’ oleh Yang Dipertuan Agong ke XI Sultan Azlan Muhibbudin Shah sempena ulangtahun ke 62 Seri Paduka pada 6 Jun 1990. Anugerah tersebut merupakan anugerah tertinggi pernah diberikan kepada seorang seniman dalam sejarah negara.
  • Bekas vokalis Headwind, Zainal Abidin tampil dengan album solo pertamanya, ‘Zainal Abidin’ pada 1991. Album terbitan Roslan Aziz Productions (RAP) dengan konsep etnik dan world music mencetus fenomena baru dalam industri muzik tempatan. Lagu seperti “Hijau”, “Manis”, “Ikhlas Tapi Jauh”, “Inayah” dan “Damai IV” berjaya membawa nama Zainal sehingga ke luar negara. Bukan itu saja, selain lagu fesyen Zainal turut menjadi ikutan ramai. Ingat dengan rantai manik, t-shirt putih dan jean Levi's biru?
  • RAP sekali lagi mencetus fenomena dengan kelahiran album ‘Ikhlas’ pada 10 November 1991. Ia menggabungkan artis naungan RAP seperti Zainal Abidin, Sheila Majid, Zubir Ali, Amir Yusoff, Azman Warren dan Afdlin Shauki. Kemuncaknya ialah menerusi konsert Ikhlas’92 di Stadium Merdeka yang dihadiri lebih 100,000 penonton!
  • Gadis dari Kuala Lipis, Siti Nurhaliza Taruddin muncul Juara Bintang HMI pada 1995. Siapa sangka gadis ini bakal menjadi penghibur nombor satu negara.
  • Selepas Eric Clapton menghasilkan album ‘Unplugged’, demam unplugged turut melanda industri muzik tempatan. Antara yang pernah mengadakan konsert sebegitu ialah Search, M Nasir, Ziana Zain dan Slam.
  • Video klip lagu “Fanatik” KRU telah terpilih sebagai calon pertama dari Malaysia yang dicalonkan dalam kategori MTV Asia Viewers Choice Awards, Anugerah Muzik Video MTV yang Ke-14 pada tahun 1997. KRU turut menempa sejarah apabila buat pertama kalinya telah berduet dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam lagu “Getaran Jiwa” menerusi kecanggihan sistem komputer.
  • Kumpulan nasyid, Raihan mencatat sejarah sebagai pelopor muzik nasyid kontemporari. Album sulung, ‘Puji-Pujian’ mencatat rekod dengan jualan melebihi 600,000 unit di seluruh negara! Hingga ke hari ini, angka itu masih tidak mampu dipecahkan oleh mana-mana penyanyi pun.

  • “Budaya punk satu kebodohan,” demikian kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang terpampang di muka depan akhbar Utusan Malaysia. Turut dipaparkan ialah gambar suasana gig punk di Damansara dengan aksi pogo dan stage diving! Ia sekaligus menyaksikan muzik punk serta budaya skinhead dilabelkan sebagai pencetus keruntuhan moral remaja.
2000 - 2005

  • Siti Nurhaliza berjaya mencatatkan namanya di dalam Malaysia Book of Records pada tahun 2001 sebagai artis paling banyak menerima anugerah di Malaysia. Walaupun usia kariernya belum mencapai 10 tahun, beliau telah menerima lebih daripada 40 anugerah (kini lebih 50 anugerah sudah dimenangi) serta darjah kebesaran daripada Sultan Pahang iaitu Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) dan daripada Sultan Perak iaitu Paduka Mahkota Perak (PMP).
  • Metalasia mencipta sejarah sebagai kumpulan muzik pertama yang terjun dari paras 5,000 kaki menggunakan payung terjun pada 13 April 2002 di Terminal 2, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor. Ianya satu usaha bermesej bagi menarik perhatian peminat seni tanahair untuk membanteras cetak rompak.
  • Rabbani, kumpulan nasyid mainstream yang muncul selepas Raihan. Kelahiran album ‘Intifada’ mencetus polemik dalam industri muzik tempatan. Bersama penerbit KRU, lagu Rabbani tampil dengan irama R & B dan catchy. Ramai yang menyifatkan Rabbani menyimpang daripada landasan nasyid. Ini memaksa syarikat rakaman mereka, EMI menganjur forum yang disertai oleh ahli akademik dan tokoh agama membincangkan permasalahan terbabit. Namun, usaha itu tamat begitu saja!
  • Black Metal menjadi isu negara! Habis semua remaja yang memakai t-shirt dilabelkan sebagai pengikut Black Metal yang menyembah syaitan. Entah dari mana, tiba-tiba muncul individu yang digelar Pakcik Tukul, Pakcik Paku dan Pakcik Hammer di Kedah. Mereka dikatakan sebagai ‘sifu’ Black Metal. Ramai yang terkejut, dan tak kurang juga ramai yang tertawa sinis!
  • Demam hip hop bermula! Ia adalah kesinambungan daripada demam rap sekitar awal 90-an sebelumnya. Di arena mainstream, Poetic Ammo dilihat sebagai perintis sebelum menjadi fenomena dengan kemunculan Too Phat. Ia seterusnya membawa kepada kemunculan banyak kumpulan hip hop seperti Phlowtron, Muchachaz, MOB, The Tarik Crew, Da Joint, Naughtius Maximus dan banyak lagi.

Bersambung










17 January 2007

Buta, Pekak atau Pengecut?

Konsert Rock: Penaja Buta, Pekak atau…Pengecut?
Oleh: Countess

“Injustice for All” (bukan “And Justice for All”). Mungkin itulah frasa paling tepat apabila memperkatakan tentang ketidakadilan yang sedang melanda industri muzik kita. Syarikat-syarikat korporat, terutamanya syarikat telekomunikasi tempatan, berlumba-lumba untuk menaja konsert secara besar-besaran. Yang sedapnya, mereka telah memeriahkan lagi industri hiburan kita yang dahagakan persembahan-persembahan ‘live’. Mereka juga telah menyediakan platform terutamanya kepada band-band baru untuk bertapak. Tetapi, yang tak sedapnya, ada antara penaja-penaja ini lebih ghairah untuk menaja konsert artis luar. Sudahlah jualan album di pasaran lembap, penaja dari syarikat rokok pula terpaksa dikata “TAK NAK”. Akibatnya, satu lagi punca periuk nasi artis (khasnya artis dan band-band rock bertaraf legenda) tertabur pasir.

Kehadiran band Indonesia, Samsons mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada 6 Januari lalu dengan hanya berbekalkan satu album dan satu lagu popular sebenarnya mengundang seribu persoalan. Sebabnya mereka pernah datang menjayakan showcase untuk promosi album ‘Naluri Lelaki’ tahun lalu dan 6 Januari lalu, datang lagi untuk sebuah konsert berbekalkan album sama. Hasilnya, mereka menyampaikan sembilan lagu dari album yang satu itu tanpa memberi bonus kepada peminat di sini sama ada menyampaikan lagu baru atau lagu popular orang lain. Bagi artis tempatan, peluang untuk menjadi ‘headlining’ konsert dengan hanya berbekalkan satu album hanyalah satu mimpi!

Pada sidang akhbar pengumuman konsert sempena ulang tahun ke-25 Search Disember lepas, Amy meluahkan rasa terkilannya kerana reputasi mereka selama ini dipandang sepi oleh pihak penaja tempatan. Konsert mereka bersama Slank tersebut pernah tertunda dua kali kerana ketiadaan penaja. Kertas kerja yang diusul, ditongsampahkan.

“Mungkin mereka (penaja) ini buta ataupun pekak dan tidak pernah membuat sebarang penyelidikan tentang pencapaian Search sebelum ini. Dua tahun lepas Search pernah buat konsert di Stadium Merdeka dengan disaksikan hampir 40,000 penonton. Jumlah itu lebih ramai daripada penonton konsert Linkin Park!” (Amy – Utusan Malaysia, 15 Disember 2006).

Itu nasib Search, satu band yang pernah menggegar tanah seberang dan telah mencorak satu revolusi baru dalam industri muzik rock di sana dengan album ‘Fenomena’ yang terjual sebanyak 700,000 unit (rasanya tak ada satu pun artis Indonesia yang berjaya menjual album mereka sebanyak itu di sini).

Apakah alasan pihak penaja sehingga Amy mengatakan mereka ‘buta’ dan ‘pekak’? Mungkinkah ada lagi penaja gusar dengan muzik rock yang dibawakan oleh Search atau band-band rock yang sezaman dengannya? Kalaulah budaya kuning (rock = dadah dan seks bebas?!) dijadikan alasan, ianya adalah sesuatu yang lapuk lagi pelik kerana di sudut lain, tahap toleransi penaja dan pihak berwajib amat tinggi. Jika tidak, tak mungkin kumpulan awek seksi yang kononnya memperjuangkan identiti wanita berani melalui “muzik” mereka sampai ke mari. Tak mungkin band-band ‘muka jambu’ dari seberang yang masih hijau boleh bikin konsert di sini. Dan, tak mungkin juga hero serta heroin Bollywood yang hanya ‘miming’ di pentas masih dijemput dan ditatang ke sini. Ibarat kera hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Klise? Tetapi itulah sebahagian realiti industri muzik kita hari ini.

Kita tidak boleh menidakkan matlamat pihak penaja yang sememangnya mahukan keuntungan. Bagi mereka, kehendak pasaran menjadi sasaran. Kaitkan saja matlamat normal ini dengan senario ‘Indon Invasion’ yang sedang berlaku. Persoalannya, sejauh manakah pihak penaja benar-benar memahami apa yang dimahukan oleh para pendengar dan pencinta muzik tempatan? Benarkah majoriti pendengar sekarang mahu disogokkan pop trendy atau goyang gerudi semata-mata?

Andaian tentang kehendak pasaran memang tidak salah. Tetapi, ‘generalization’ yang membuta tuli adalah tidak adil dan mengabaikan golongan pendengar dan peminat muzik lain yang juga mempunyai kuasa beli.

Mungkin ada penaja yang kurang yakin dengan kemampuan artis tempatan. Bagi mereka, sesetengah artis tempatan tidak punya ‘X-factor’ yang menarik. Mungkin mereka merasakan tidak berbaloi untuk melaburkan wang yang banyak untuk menaja konsert bertaraf antarabangsa hanya untuk artis tempatan. Atau mungkin mereka membuat ‘generalization’ bahawa tidak ada di kalangan para peminat muzik tanahair yang sanggup menghabiskan beratus-ratus ringgit hanya untuk menikmati konsert artis Malaysia yang mantap dan berkualiti serba-serbi.

Generasi yang pernah membesar dengan muzik rock kapak, misalnya, kini berusia dalam lingkungan lewat 20-an dan lewat 40-an. Golongan ini adalah antara majoriti kuasa pembeli yang ada sekarang. Peminat-peminat rock ‘old-skool’ yang terangkum dalam golongan ini ternyata sanggup membayar lebih untuk menonton konsert yang berkualiti. Contoh terbaik ialah konsert Ramli Sarip ‘Zaman The Concert’ yang diadakan pada 8-9 Julai 2005. Konsert yang diadakan dua malam berturut-turut itu penuh sesak dengan penonton dari golongan yang disebut tadi walaupun tiketnya mahal dan diadakan di lokasi berprestij, iaitu Istana Budaya.

Golongan berkuasa beli tersebut juga merangkumi pendengar dan peminat muzik yang masih meminati rock kapak, tetapi tidak dapat datang ke konsert-konsert yang diadakan di kelab-kelab malam atas faktor masa ataupun perubahan gaya hidup.

Sudah tiba masanya para penaja membuka minda. Berhenti menjadi pekak dan buta. Ada satu golongan berkuasa beli yang matang dan berpoket tebal perlu disasarkan. Perlu diingat, ada peluang yang boleh diintai di sebalik kegilaan peminat kepada suara sengau Irwan Syah dan “Pencinta Wanita”nya, atau aksi manja Ratu dengan “Lelaki Buaya Darat” mereka. Di sebalik kegilaan ini, ada peluang keuntungan yang mesti dieksploitasi secara berani. Strategi pemasaran dan publisiti yang baru mesti diuruskan. Dan paling penting, penaja perlu adil, bukan saja kepada artis tempatan, tetapi juga pencinta muzik yang mahukan alternatif.

Artis-artis tempatan pula disarankan agar tidak turut pekak dan buta. Semak semula kertas kerja yang ada sebelum diusulkan pada penaja. Pasti ada satu formula atau strategi tertentu yang membolehkan artis-artis berlabel ‘Buatan Malaysia’ mampu menggegar pasaran muzik baik di sini ataupun di seberang sana sebagaimana yang pernah dibuat oleh Search kira-kira 17 tahun dahulu.


**Countess: Tunggu konsert 'Double Trouble' Search & Wings!!...Tapi tu la..sape mau sponsor?

05 January 2007

Konsert S2 Celebration - Wings ganti Search!

Okay la, tiada rotan akar pun berguna. Hehehe...

SELEPAS Search menarik diri secara drastik daripada Konsert S2 Celebration, Wings dipilih di saat-saat akhir sebagai pengganti. Maknanya Wings bersama-sama Spider akan menjadi opening act kepada Slank, malam ini. Eh! Wings sebenarnya lagi otai pada Slank, kan? ( masa album keempat, Jerangkung Dalam Almari released pada 1991, Slank baru nak keluarkan album sulung).

Aku tak sangka pulak Wings boleh terima tawaran berkongsi pentas dengan Slank kerana sebelum ini merekalah yang paling lantang menentang kemasukan band seberang membuat konsert di sini. Tapi, agaknya mungkin Awie and the gang nak buktikan diorang sebenarnya lebih hebat daripada Slank, kot? Tapi sebagai peminat rock, bagi aku, ok la tu! At least, ada jugak band hebat Malaysia beraksi malam ini.

Selepas berita penarikan Search, aku perhatikan hanya Utusan Malaysia yang betul-betul mengeluarkan kenyataan Amy. Kosmo walaupun satu company dengan Utusan pun main sipi-sipi je. Harian Metro selaku rakan media Konsert S2 Celebration ‘terpaksa’ keluarkan story yang ‘baik-baik’. Tak ketinggalan juga Berita Harian yang memainkan story bernada sama dengan Harian Metro.

Bagaimanapun, sila beli Kosmo Ahad pada 7 Januari ini kerana artikel mengenai cerita sebenar mengapa Search tarik diri akan disiarkan.

04 January 2007

Konsert S2 Celebration Ulangtahun ke-25 Search akhirnya jadi konsert Slank!

SO, selepas berakhirnya press conference Konsert S2 Celebration Search bersama Slank tadi, maka confirmlah yang Search menarik diri dari konsert yang bakal meraikan ulang tahun ke-25 mereka.

Tidak ada seorang pun anggota Search yang hadir pada PC berkenaan dan apa yang meragukan, pihak penganjur, Tiga Events Sdn Bhd mengatakan Search menarik diri berikutan bencana banjir yang melanda Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Apa yang menarik, salah-seorang jurnalis yang hadir pada majlis terbabit segera menghubungi Amy. Dia bernasib baik apabila Amy menjawab panggilan berkenaan dan dengan nada yang cukup marah, vokalis Search itu berkata,

“Pegi mampus dengan konsert tu! Aku dah tak kuasa nak layan! Kau tak tak, kitorang dah discuss dengan Tiga Events pasal stage, lighting dan sound system yang kitorang nak sejak tujuh bulan lalu. Tapi dua minggu lepas bila kitorang check balik, production tak jalan langsung! Sound engineer pun takde lagi! Apahal? Sebelum tu bila tanya pasal production, diorang cakap semua ok. Tapi last-last jadi macam ni! Aku tak paham!

“Lepas tu masa PC tadi kenapa tak nak bagitau press masalah sebenarnya? Kenapa nak cakap kitorang tarik diri pasal banjir? Itu semua bull s**t! Konsert tu tunda kat Johor memang sebab banjir, tapi kat KL ni sebab diorang tak tunaikan apa yang kami nak.

“Kami tau peminat akan kecewa, tapi kami 10 kali lebih kecewa! Kami mintak ampun dan maaf tetapi kami terpaksa buat macam ni. Abis, kau ingat aku nak terpacak atas stage dan nyanyi tapi sound tak keluar dan hancur? Come on la, ini konsert anniversary kitorang. Kitorang nak buat the best untuk peminat. Takkan konsert macam ni kitorang nak main dengan sound system funfair lagi!

BEGITULAH ceritanya lebih kurang. Aku difahamkan selepas mendapatkan kenyataan Amy, semua wartawan meminta Tiga Events counter balik kenyataan itu, tetapi tak ada seorang pun yang tampil. Maknanya apa yang dikatakan Amy itu benar-benar berlaku.

Apa yang pasti, pihak yang menjadi mangsa ialah peminat. Khabarnya ada yang dah beli tiket dan datang bukan setakat dari Lembah Klang, tapi seluruh negara termasuk Singapura. Rata-rata peminat mahu melihat Search, bukan Slank sebenarnya.

Bagi Search, tindakan ini sedikit-sebanyak boleh mencalarkan reputasi mereka. Bagaimanapun, mereka tetap mempunyai ego sendiri dan tindakan ini juga dilihat sebagai tepat jika mereka terasa seperti dipermain-mainkan.

Tiga Events selaku syarikat besar dan berpengalaman luas dalam penganjuran pelbagai acara dan konsert, masalah seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Aku tak tau apa masalah sebenarnya sehingga terjadi seperti apa yang Amy katakan.

Jadi, konsert yang pada asalnya adalah milik Search dan bakal menjadi konsert paling gemilang dalam sejarah penubuhan mereka akhirnya menjadi Konsert Slank dan Spider selaku opening band.

Sedih? Sebagai peminat nombor satu Search sejak album Cinta Buatan Malaysia, aku memang sedih dan amat kecewa.