06 June 2007

BANG YOUR HEAD - Lima Dekad Satu Transisi (Siri 1)

'LIMA DEKAD SATU TRANSISI' - Demikian tajuk sebuah siri pengembaraan dan muzikal tanahair selama setengah abad (lebih kurang macam 'timeline' la) yang pernah kami tulis bersama pada 2005. Idea untuk menulisnya timbul selepas letih membelek-belek 'timeline' sejarah muzik mat saleh di majalah-majalah seperti Rolling Stones. Hmm, bila pulak kita nak buat 'timeline' sendiri kan? Setelah jenuh memerah otak, membuat research, bertanya pada otai-otai dan bertekak laki bini (hehe), artikel ini akhirnya telah tersiar dalam majalah ROTTW isu ke-100 (Mac 2005).

Mungkin ada yang pernah membacanya; tetapi, sekadar ingin mengimbau kenangan, kami paparkan di blog ini dalam 9 siri. Sit back, relax and happy reading!...

*****************************************
Tenat! Inilah gambaran terhadap industri muzik tempatan kini. Namun begitu, jika kita menoleh ke belakang industri muzik kita memiliki banyak pencapaian dan sejarah menarik yang boleh dibanggakan.

Mari kami bawa anda menyusuri detik-detik bersejarah yang membawa evolusi serta ikon-ikon yang membawa perubahan besar dalam industri muzik tempatan selama lima dekad. Dan, di manakah anda ketika itu?

50an

  • Pada 1951, penyanyi-penyanyi Melayu yang terdiri daripada P. Ramlee, Asiah, Momo dan Lena telah merakamkan lagu-lagu Melayu buat kali pertama di HMV (His Master’s Voice) Studio di Singapura. Penyanyi-penyanyi ini merakamkan suara mereka dengan iringan orkestra dengan menggunakan empat perakam suara di atas sejenis pita lentur (diperbuat daripada ‘cellulose acetate plastic’ yang disadur habuk oksida ferrix) yang membolehkan rakaman dibuat berulang-ulang, dipadamkan atau dirakamkan kemudian. Setiap pita itu boleh menampung lima rakaman. Selesai rakaman, pita-pita tersebut dihantar ke Calcutta atau Hayes, Middlesex, England untuk dipindahkan ke piring hitam.

60an
  • Panca Sitara telah ditubuhkan pada tahun 1960. Ianya merupakan sebuah kumpulan vokal harmoni yang terdiri daripada Aziz Jaafar, Normadiah, P. Ramlee, Ahmad C dan Kassim Masdor. Pemuzik-pemuzik yang mengiringi kumpulan pimpinan P. Ramlee ini ialah Ahmad Kassim (piano), Yusof B (teno-saxaphone), Osman Ahmad (double bass) dan A. Rahim (dram). Sebenarnya, P. Ramlee menubuhkan Panca Sitara bukan saja untuk memberi satu corak baru kepada lagu-lagu Melayu, tetapi untuk membendung pengaruh muzik pop Barat seperti The Beatles dan The Platters yang diikuti oleh pop yeh-yeh. Bagi P. Ramlee muzik pop begitu “hanya mementingkan bunyi yang kuat dari mutu lagu itu sendiri”.
  • P. Ramlee Keroncong Orkes telah ditubuhkan pada Oktober 1960 oleh P. Ramlee untuk menghidupkan kembali lagu-lagu keroncong. Sebahagian besar ahli-ahli orkes ini terdiri daripada mereka yang terlibat dengan Panca Sitara dan orkes ini telah mendapat sambutan hangat di Malaysia, Singapura dan Brunei.
  • M. Osman mempelopori muzik pop yeh-yeh dan menjadi penyanyi pertama yang merakamkan lagu-lagu pop Melayu ke piring hitam pada tahun 1965 di Singapura. Bekas wartawan hiburan yang diisytihar ‘Raja Pop Yeh-Yeh’ ini mempopularkan lagu “Suzana” – lagu berirama pop yeh-yeh yang pertama.

70an
  • P. Ramlee membentangkan kertas kerjanya bertajuk “Cara-cara Meninggikan Mutu dan Memperkayakan Muzik Jenis Asli dan Tradisional Malaysia Demi Kepentingan Negara” di Kongres Kebudayaan Kebangsaan pada 16-20 Ogos 1971. Antara usul-usulnya ialah supaya muzik asli dan tradisional dijadikan satu matapelajaran di sekolah-sekolah dan menggalakkan kelab-kelab malam, hotel-hotel dan restoran-restoran memperdengarkan muzik genre tersebut.
  • Sharifah Aini dianugerahkan gelaran ‘Penghibur Wanita Paling Popular’ oleh PAPITA (Persatuan Penghibur Tanah Air) pada tahun 1979. Beliau juga ialah penyanyi yang pertama digelar ‘superstar’ dalam bidang seni suara tanahair. Lagu pertama yang menjulang nama beliau sebagai penyanyi pujaan ialah “Seri Dewi Malam” yang diterbitkan pada tahun 1968 ketika beliau berusia 15 tahun.
  • Kumpulan rock orang asli pertama di Malaysia, The Honesty, telah ditubuhkan pada tahun 1974. The Honesty dianggotai oleh enam anak muda keturunan Mah Meri yang mendiami sebuah perkampungan orang asli di Gombak. Walau bagaimanapun, kumpulan yang versatile ini hanya mula popular pada tahun 1987.

80an

  • Siri konsert Battle of The Bands dengan tema ‘Basmikan Cetak Rompak’ bermula pada 1986. Ia berlangsung di Stadium Negara dan mendapat sambutan hebat dengan menampilkan artis seperti Search, SYJ, Ali Sobree & Bloodshed, Rahim Maarof & Whitesteel, Headwind, Dr Sam & Musafir, Ella & The Boys, Rahim Hamzah & Vet Blues, Ito Blues Gang dan Hamzah Dolmat. Ini adalah pencetus kepada era ekplosif rock. Kerajaan hampir mengharamkan muzik rock apabila berlaku rusuhan semasa konsert Battle of the Bands di tapak pesta Sungai Nibong, Pulau Pinang pada 1986!
  • Sudirman Hj. Arshad diisytihar ‘Penghibur Terbaik Asia’ selepas memenangi Anugerah Muzik Popular Asia pertama yang berlangsung di Royal Albert Hall, London pada 19 Mac 1989. ‘The Singing Lawyer’ ini mengalahkan lapan peserta yang lain dengan persembahan hebatnya melalui lagu “One Thousand Million Smiles” dan “Send In The Clown”.
    Antara penghibur popular Asia yang ditewaskannya ialah Leslie Cheung (Hong Kong) dan Anita Sarawak (Singapura).
  • Sebelum itu Sudirman juga mencatat sejarah apabila mengadakan konsert percuma di Chow Kit, Kuala Lumpur. Sesuai dengan gelarannya sebagai penghibur rakyat, konsert berkenaan berjaya menarik lebih 100,000 penonton penuh sesak sepanjang Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
  • Aishah menjadi penyanyi pertama di Malaysia terpilih sebagai Bintang Pepsi pada tahun 1989. Album ‘Sensation’ nyanyian Aishah bersama kumpulannya, Fan Club (dari New Zealand), telah menaikkan namanya di peringkat antarabangsa.
  • 80an menyaksikan kemuncak karier Alleycats. Ditubuhkan pada tahun 1968 di Pulau Pinang, Alleycats ialah band bukan Melayu paling berjaya, paling lama bertahan dan paling banyak menerima anugerah gold disc di negara ini. Antara album mereka yang berjaya terjual melebihi 50,000 dan 80,000 unit ialah ‘Suara Kekasih’ (1985), ‘Sampaikan Salam Cintaku’, ‘Hingga Akhir Nanti’ (1980), ‘Andainya Aku Pergi Dulu’ (1982) dan ‘Kerana’ (1984).

90an
  • P. Ramlee telah dianugerahkan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran ‘Tan Sri’ oleh Yang Dipertuan Agong ke XI Sultan Azlan Muhibbudin Shah sempena ulangtahun ke 62 Seri Paduka pada 6 Jun 1990. Anugerah tersebut merupakan anugerah tertinggi pernah diberikan kepada seorang seniman dalam sejarah negara.
  • Bekas vokalis Headwind, Zainal Abidin tampil dengan album solo pertamanya, ‘Zainal Abidin’ pada 1991. Album terbitan Roslan Aziz Productions (RAP) dengan konsep etnik dan world music mencetus fenomena baru dalam industri muzik tempatan. Lagu seperti “Hijau”, “Manis”, “Ikhlas Tapi Jauh”, “Inayah” dan “Damai IV” berjaya membawa nama Zainal sehingga ke luar negara. Bukan itu saja, selain lagu fesyen Zainal turut menjadi ikutan ramai. Ingat dengan rantai manik, t-shirt putih dan jean Levi's biru?
  • RAP sekali lagi mencetus fenomena dengan kelahiran album ‘Ikhlas’ pada 10 November 1991. Ia menggabungkan artis naungan RAP seperti Zainal Abidin, Sheila Majid, Zubir Ali, Amir Yusoff, Azman Warren dan Afdlin Shauki. Kemuncaknya ialah menerusi konsert Ikhlas’92 di Stadium Merdeka yang dihadiri lebih 100,000 penonton!
  • Gadis dari Kuala Lipis, Siti Nurhaliza Taruddin muncul Juara Bintang HMI pada 1995. Siapa sangka gadis ini bakal menjadi penghibur nombor satu negara.
  • Selepas Eric Clapton menghasilkan album ‘Unplugged’, demam unplugged turut melanda industri muzik tempatan. Antara yang pernah mengadakan konsert sebegitu ialah Search, M Nasir, Ziana Zain dan Slam.
  • Video klip lagu “Fanatik” KRU telah terpilih sebagai calon pertama dari Malaysia yang dicalonkan dalam kategori MTV Asia Viewers Choice Awards, Anugerah Muzik Video MTV yang Ke-14 pada tahun 1997. KRU turut menempa sejarah apabila buat pertama kalinya telah berduet dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam lagu “Getaran Jiwa” menerusi kecanggihan sistem komputer.
  • Kumpulan nasyid, Raihan mencatat sejarah sebagai pelopor muzik nasyid kontemporari. Album sulung, ‘Puji-Pujian’ mencatat rekod dengan jualan melebihi 600,000 unit di seluruh negara! Hingga ke hari ini, angka itu masih tidak mampu dipecahkan oleh mana-mana penyanyi pun.

  • “Budaya punk satu kebodohan,” demikian kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang terpampang di muka depan akhbar Utusan Malaysia. Turut dipaparkan ialah gambar suasana gig punk di Damansara dengan aksi pogo dan stage diving! Ia sekaligus menyaksikan muzik punk serta budaya skinhead dilabelkan sebagai pencetus keruntuhan moral remaja.
2000 - 2005

  • Siti Nurhaliza berjaya mencatatkan namanya di dalam Malaysia Book of Records pada tahun 2001 sebagai artis paling banyak menerima anugerah di Malaysia. Walaupun usia kariernya belum mencapai 10 tahun, beliau telah menerima lebih daripada 40 anugerah (kini lebih 50 anugerah sudah dimenangi) serta darjah kebesaran daripada Sultan Pahang iaitu Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) dan daripada Sultan Perak iaitu Paduka Mahkota Perak (PMP).
  • Metalasia mencipta sejarah sebagai kumpulan muzik pertama yang terjun dari paras 5,000 kaki menggunakan payung terjun pada 13 April 2002 di Terminal 2, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor. Ianya satu usaha bermesej bagi menarik perhatian peminat seni tanahair untuk membanteras cetak rompak.
  • Rabbani, kumpulan nasyid mainstream yang muncul selepas Raihan. Kelahiran album ‘Intifada’ mencetus polemik dalam industri muzik tempatan. Bersama penerbit KRU, lagu Rabbani tampil dengan irama R & B dan catchy. Ramai yang menyifatkan Rabbani menyimpang daripada landasan nasyid. Ini memaksa syarikat rakaman mereka, EMI menganjur forum yang disertai oleh ahli akademik dan tokoh agama membincangkan permasalahan terbabit. Namun, usaha itu tamat begitu saja!
  • Black Metal menjadi isu negara! Habis semua remaja yang memakai t-shirt dilabelkan sebagai pengikut Black Metal yang menyembah syaitan. Entah dari mana, tiba-tiba muncul individu yang digelar Pakcik Tukul, Pakcik Paku dan Pakcik Hammer di Kedah. Mereka dikatakan sebagai ‘sifu’ Black Metal. Ramai yang terkejut, dan tak kurang juga ramai yang tertawa sinis!
  • Demam hip hop bermula! Ia adalah kesinambungan daripada demam rap sekitar awal 90-an sebelumnya. Di arena mainstream, Poetic Ammo dilihat sebagai perintis sebelum menjadi fenomena dengan kemunculan Too Phat. Ia seterusnya membawa kepada kemunculan banyak kumpulan hip hop seperti Phlowtron, Muchachaz, MOB, The Tarik Crew, Da Joint, Naughtius Maximus dan banyak lagi.

Bersambung










3 comments:

TJ said...

great article ... keep up the good work!!!

aku poyo said...

still the same...

lagu hancus!!!

60 an x bleh bla
70 an x bleh bla
80 an x bleh bla
90 an x bleh bla
sekarang baru nak terhegeh hegeh...

tengok indon...
mainstream mantap!!!

indie gempak beb!!!!

gayour said...

kisah rambut panjang diharamkan dan band search/wing potong rambut tak masuk ker? heh!
hey, long hair, u're under arrest!
btw... tq