18 March 2008

BELASUNGKAWA: ABD JALIL NGAH (1957 - 2008)

AL FATIHAH. Seorang lagi individu yang banyak berbakti untuk industri muzik tempatan (terutama pentas muzik rock) kembali ke rahmatullah.

Allahyarham Abd Jalil Ngah, 51, meninggal dunia akibat sakit jantung kira-kira jam 7 pagi, 18 Mac 2008. Arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Masjid Siti Khadijah, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Jalil yang juga Pengarah dan Pengarah Kreatif AVXS Sdn Bhd cukup sinonim dengan bidang produksi konsert, sistem pencahayaan dan rekaan pentas sejak 20 tahun lalu.

Berikutan tugasnya lebih banyak di balik tabir, mungkin tidak ramai yang mengenalinya. Tetapi bagi yang terbabit secara langsung dalam produksi dan pengurusan konsert, Jalil adalah antara yang terbaik. Hampir semua konsert-konsert mega membabitkan Search dan Wings pada era 80-an dan 90-an dulu menggunakan kepakaran dan daya kreativitinya.

Jalil juga adalah abang kepada komposer terkenal, Manan Ngah dan adik kepada kartunis / pelukis Fatah Ngah (popular dengan siri kartun Lagak A Mamud dalam Gila-Gila).

Video klip “Isabella” persembahan Search adalah hasil arahan Jalil ketika mula berjinak-jinak dalam bidang pengarahan.

Di bawah ini adalah artikel mengenai Jalil yang aku tulis untuk Harian Metro pada 8 September 2004 lalu. Tiga hari sebelum itu, temubual bersamanya berjalan di pejabat AVXS yang juga sebuah rumah banglo di kawasan elit Robson Heights, Kuala Lumpur, tak jauh dari Mid Valley.

* * * * * * * * * *

BAYANGKAN sebuah pentas yang besar. Ia dihiasi peralatan disusun denganbegitu kreatif sekali berserta sistem pencahayaan canggih. Siapa yang menghasilkannya?

Itulah tugas Pengarah dan Pengarah Kreatif AVXS Sdn Bhd, Abd Jalil Ngah, 47. Dalam bidang produksi dan rekaan pentas di sini, nama beliau sememangnya tidak asing lagi. Pengalaman lebih 20 tahun menjadikan nama Jalil cukup sinonim dalam bidang berkenaan. AVXS Sdn Bhd ditubuhkan pada 1992 terbabit secara langsung dalam rekaan pentas, konsert, klip video
dan iklan komersial.

"Kami menawarkan pendekatan menyeluruh daripada konsep, rekaan, bantuan teknikal dan produksi untuk konsert, pelancaran produk dan acara tertentu. Kesempurnaan adalah fokus utama kami di AVXS di samping tahap profesionalisme dan kreativiti yang tinggi," katanya.

Antara konsert dan acara yang membabitkan AVXS secara langsung ialah Konsert Legenda Sheila Majid, Raihan (Singapura), sebahagian besar konsert solo M Nasir, Ella Tour, Anugerah Industri Muzik (AIM), Anugerah Sukan Negara (1997 hingga 2000) dan Penang World Film Festival.

Manakala yang terbaru pula ialah Konsert Mohram di Istana Budaya, Search (Pulau Pinang), Konsert Ambang Merdeka (Putrajaya) dan persembahan delegasi filem Puteri Gunung Ledang di Festival Filem Venice, Itali baru-baru ini.

Apa yang dimiliki Jalil sebenarnya adalah titik tolak kepada minatnya yang begitu mendalam terhadap rekaan pentas dan set. Selepas menamatkan pengajian dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), beliau terlebih dahulu mencari pengalaman dengan bekerja sebagai pelukis ilustrasi dan Pengarah Seni di beberapa agensi pengiklanan selama lima tahun.

"Sukar nak gambarkan mengapa saya amat meminati bidang ini. Ia datang dengan sendiri berikutan minat mendalam dalam seni. Saya akan puas apabila orang suka melihat hasil kerja saya," katanya.

Kerjaya sebenarnya dalam bidang rekaan set dan pentas bermula apabila beliau bekerja di TV3 sebagai pereka set pada penghujung 80-an. Set terawal program terkenal TV3 iaitu Muzik Muzik adalah hasil rekaan Jalil. Ini diikuti Golden Kite World Song Festival anjuran TV3 dan Penerbangan Malaysia (MAS) pada 1990.

"Ketika bersama TV3 saya mula mengembangkan kerjaya saya. Selepas mahir dalam rekaan set dan pentas, saya belajar mendalami bidang pencahayaan dan seterusnya produksi. Saya tidak mengikuti mana-mana kelas, semuanya belajar sendiri dan kelas rasmi saya ialah dengan banyak bertanya kepada orang yang lebih berpengalaman serta berani mencuba," katanya.

Ketika itu juga Jalil mula berjinak-jinak dengan bidang pengarahan terutama klip video. Klip video lagu popular kumpulan Search iaitu 'Isabella' adalah arahan Jalil. Penggambaran yang dilakukan di Pantai Morib, Banting itu turut mengetengahkan Julia Rais sebagai model malah
bertitik-tolak dari situ, beliau seterusnya berjaya mengukir nama sebagai model dan pelakon terkenal.

Dari segi lontaran idea, Jalil selalunya akan mengkaji produk pelanggannya terlebih dahulu. Menurutnya, ia adalah aspek paling penting sebelum beliau memberikan ideanya bersama bahan rujukan lain. Beliau akan memberikan rekaan pentas dan pencahayaan yang tidak akan ditolak pelanggan.

"Itu pentingnya kreativiti dan komitmen. Saya tidak mahu membuat kerja dengan tangkap muat. Jika pelanggan memberi idea yang saya rasakan tidak sesuai, saya akan bangkang walaupun itu adalah produknya. Mungkin nampak kurang elok tetapi pada masa sama saya sebenarnya membantu mereka dari segi idea," kata Jalil yang banyak dibantu kakitangannya dalam memerah idea di samping pengalaman.

Menurut Jalil, bidang yang diceburinya memerlukan seseorang yang tidak mementingkan diri sendiri. Idea yang dihasilkan perlu fleksibel dan mereka perlu tahu apa yang penonton rasa serta lihat. Ini termasuk citarasa daripada pelbagai golongan sama ada orang kampung, 'rockers'
sehinggalah kepada golongan elit.

"Dalam sesuatu persembahan itu, ada yang beranggapan ia hanya akan ditonton golongan elit sahaja dan pendekatannya juga perlu lebih elit. Ini adalah pandangan yang salah. Tidak semestinya persembahan yang biasa dibuat di Istana Budaya tidak boleh dipersembahkan di pentas terbuka di Chow Kit!" katanya.


* Video klip "Isabella" di Pantai Morib, Selangor hasil arahan arwah Jalil


No comments: