04 April 2006

KONSERT: Wings & May

Wings, MAY jayakan konsert anti dadah

Oleh ABD. AZIZ ITAR (Utusan Malaysia, 4 April 2006)

KUMPULAN Wings dan MAY bukan setakat menghiburkan para peminat dengan lagu-lagu rock tetapi mereka juga sanggup berkempen untuk memerangi gejala dadah.

Keperihatinan itu dapat dilihat apabila mereka akan menjayakan Konsert Kesedaran Anti Dadah di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 29 April ini pukul 8.30 malam.

Vokalis kumpulan May, Mus berkata, menerusi konsert yang turut mengundang Ramli Sarip itu, mereka akan memberi kesedaran kepada para penonton tentang kesan bahaya dadah.

“Biasanya golongan muda yang terbabit dengan dadah. Konsert ini salah satu saluran untuk mencegah mereka daripada terjebak dengan dadah.

“Ini kerana, kalau hendak menghentikan masalah penagihan dadah ia adalah suatu perkara yang susah untuk dilaksanakan.

“Lagipun melalui konsert ini kami akan bekerjasama dengan banyak agensi seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sementara itu, vokalis Wings, Awie pula kesal apabila ramai beranggapan artis rock seperti mereka terbabit dalam kancah penagihan dadah.

“Kami sudah buktikan tidak ada mat lalok (penagih dadah) yang boleh mengadakan konsert hingga dua jam seperti kami.

“Kalau mat gian apa yang mereka boleh buat di atas pentas? Dan kalau ada orang yang kata saya mudah pancit (kurang tenaga) sewaktu di pentas, suruh mereka datang ke konsert ini untuk melihat sendiri persembahan saya,” ujarnya.

Sungguhpun begitu, Awie tidak menafikan adakalanya kemantapan vokalnya terganggu kerana sebab-sebab tertentu termasuk masalah kesihatan.

“Penyanyi bukannya macam tali gitar yang boleh bertukar ganti. Ada masanya kita ada masalah kesihatan tetapi itu tidak bermakna langsung tidak boleh nyanyi,” kata Awie lagi.

Konsert anjuran Golden Pillars Entertainment Sdn. Bhd., itu mengenakan harga tiket RM80, RM50 dan RM30. Sebahagian daripada jualan tiket akan disumbangkan kepada KDN.


3 comments:

Anonymous said...

konsert wings may 29.4.06 jadi ke?pls infom!0122612295

N a d i a said...

zul,
sorry...tak perasan entry ni. rasenye konsert ni KIV kot? x sure. tapi jgn risau. we'll try to keep you guys posted!, wokey?

Anonymous said...

pls geng,im desperate to see joe wings in action again!!im addicted to his skill!!