16 October 2008

NASYID? ROCK ROHANI? POP DAKWAH?

Artikel berikut ditulis oleh Yatt dan tersiar di ruangan Minda, Harian Metro 16 Oktober 2008. Mungkin ada yang tertanya-tanya apa kena-mengena kisah nasyid dan blog rock ini? Ada juga kena-mengenanya. Bacalah dulu, okey?

MINDA: Usah Rosakkan Nasyid!
Oleh: Riadz Radzi

SEJAK Raihan tampil dengan album sulung, Puji Pujian pada 1997, irama nasyid yang dilihat tidak mampu untuk berkembang mula memasuki dimensi baru. Raihan yang ketika itu dianggotai Zairie Ahmad (Allahyarham), Nazrey Johani, Che Amran Idris, Abu Bakar Md Yatim dan Amran Ibrahim mempelopori konsep kontemporari dalam bernasyid dengan pendekatan baru lebih moden dengan irama lebih moderate serta acapella.

Album terbitan Farihin Abdul Fattah itu seterusnya mencetus fenomena dalam industri muzik tempatan apabila mencatat rekod jualan 600,000 unit.

Siapa sangka irama nasyid yang sebelum itu dianggap konservatif dan hanya layak dipersembahkan di majlis keagamaan menjadi irama paling popular.

Kejayaan Raihan kemudian membawa kepada kemunculan lebih banyak kumpulan nasyid antaranya Rabbani, Hijjaz, Brothers, Nirwana, NowSeeHeart, In Team dan banyak lagi.

Kemunculan mereka menjadikan irama nasyid mula mendapat tempat di pasaran muzik arus perdana yang sebelum ini dikuasai muzik rock, pop, dangdut, rap dan hip hop.

Itu fenomena yang dicetuskan nasyid lebih 10 tahun dulu. Walaupun nasyid bukan asing dalam industri muzik tempatan sejak era 80-an dengan kemunculan Al-Jawaher, Al-Mizan dan Ahmadi Hassan, Raihan berjaya meletakkan nasyid pada tahap membanggakan.

Umum mengetahui nasyid lagu bercorak keIslaman dan mengandungi kata-kata nasihat, kisah nabi, memuji Allah dan seumpamanya. Selain itu, nasyid cukup sinonim dengan unsur qasidah dan taranum dalam nyanyian serta penggunaan peralatan muzik yang minimum.

Ini disertai imej dan penampilan lebih Islamik seperti berkopiah, memakai jubah atau berbaju Melayu. Demikian identiti penyanyi nasyid yang membezakan mereka dengan penyanyi lain.

Bagaimanapun, melodi asal Tanah Arab itu yang pada awalnya membawakan alunan bercorak padang pasir kini sudah berubah dengan pelbagai rentak bercorak baru demi menjadikan lagu nasyid lebih menarik dan bersifat lebih daya saing dalam bidang seni.

Malah, penampilan artis nasyid turut berubah dengan anggotanya tidak semestinya berkopiah atau berbaju sedondon.

Sekali pandang, kita sendiri kadang-kadang sukar meneka yang mana satu kumpulan nasyid atau kumpulan pop jika tidak mendengar lagu atau menghayati lirik mereka.

Namun, apa yang kurang enak, pembaharuan yang cuba dilakukan sebenarnya secara tidak langsung menimbulkan kekeliruan mengenai apa sebenarnya nasyid. Identiti nasyid semakin lama semakin terhakis akibat terlalu mengejar elemen komersial.

Persoalan yang timbul ialah bagaimana hendak mengklasifikasikan lagu dan muzik nasyid? Apakah dengan hanya membawakan lagu dengan lirik berkonsep keIslaman dan ketuhanan menjadikan seseorang itu penyanyi nasyid?

Ada sesetengah kumpulan nasyid seolah-olah sudah terkeluar daripada landasan nasyid. Bagaimana mahu mengklasifikasikan mereka sebagai penyanyi nasyid jika imej mereka saling tak tumpah seperti kumpulan pop. Malah, ada di antara mereka menampilkan lagu berirama pop sehingga mengenepikan langsung identiti nasyid seperti qasidah dan taranum.

Ada juga yang tampil dengan gubahan lagu menggunakan alat muzik seperti gitar dan keyboard serta lirik mencintai kekasih wanita. Jadi, adakah mereka ini kumpulan nasyid?

Kadang-kadang kumpulan nasyid kelihatan seperti ‘kumpulan pop berkopiah’ kerana elemen nasyid sudah banyak hilang. Mungkin yang ada hanya irama nasyid yang minimum.

Identiti nasyid mereka hanya pada lagu yang liriknya menceritakan mengenai Islam dan ketuhanan, sedangkan irama lagu lebih kepada pop atau folk serta imej yang ‘menyimpang’ sebagai penyanyi nasyid. Inilah kekeliruan yang dimaksudkan.

Jika dengan hanya menyanyikan lagu ketuhanan sudah boleh dianggap penyanyi nasyid, apa bezanya penyanyi seperti Ramli Sarip, M Nasir dan Kopratasa dengan penyanyi nasyid sedia ada? Mereka yang sinonim dengan muzik rock dan folk sudah lama memperjuangkan lagu berkonsepkan ketuhanan sejak era 80-an lagi.

Lagu M Nasir, contohnya sarat dengan mesej ketuhanan dan Islam seperti KepadaMu Kekasih, Di Jalan Sesat, Raikan Cinta, Andalusia dan banyak lagi. Malah, penyanyi ini pernah menghasilkan lagu Demi Masa yang diilhamkan daripada surah al-Asr dengan firman Allah, “Demi masa! Sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka berpesan-pesanan dengan kebenaran serta berpesan-pesanan dengan kesabaran”.

Lagu berkonsep sedemikian turut diketengahkan kumpulan rock popular era 80-an seperti Search, Lefthanded, Wings dan BPR. Search dengan lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur, Lefthanded (Seruan, Satu Tidur Panjang, Semangat Lamina), Wings (Dari Tuhan, Alam Barzakh, Hukum Karma, Perhentian) serta BPR dengan lagu seperti Silaturrahim, Dajal dan Maghrib.

Sebenarnya boleh dikatakan hampir 100 peratus kumpulan rock pada waktu itu pasti menyelitkan dua atau tiga lagu berunsur ketuhanan di dalam setiap album mereka.

Berbalik kepada perkembangan nasyid, sebelum ia dikomersilkan oleh Raihan sebagai nasyid kontemporari, ia sudah bertapak kukuh dengan kumpulan seperti Nada Murni dan The Zikr yang bernaung di bawah pertubuhan Al-Arqam sebelum ia diharamkan.

Era nasyid Nada Murni, The Zikr, Al-Jawaher dan Al-Mizan sudah berkubur. Ia nasyid klasik yang tidak mendapat tempat dalam arus muzik perdana dan digantikan nasyid lebih moden.

Rabbani muncul selepas Raihan mencipta kejutan apabila tampil dengan penerokaan muzik lebih universal dan tidak terikat dengan irama padang pasir.

Menggunakan khidmat KRU selaku penerbit, Rabbani tampil dengan muzik dance dan R & B yang turut mengundang kontroversi berikutan khalayak tidak dapat menerima perubahan itu kerana menganggap Rabbani sudah jauh menyimpang dari landasan nasyid.

Kontroversi itu turut mendorong Rabbani bersama syarikat rakaman EMI menganjurkan forum bertajuk Di Manakah Ketulenan dan Arah Lagu Nasyid Kini? pada 2001 menampilkan beberapa tokoh agama dan pensyarah selaku panelnya.

Walaupun menampilkan sesuatu yang menyimpang dari segi muzik mengikut konsep nasyid, Rabbani masih mengekalkan tradisi nasyid dari segi nyanyian, penampilan, persembahan serta lirik lagu.

Selain itu, penganjuran program realiti Akademi Nasyid (AN) oleh TV9 dilihat antara usaha menaikkan taraf muzik nasyid ke peringkat lebih tinggi.

Ketua Pegawai Operasi TV9, Bukhari Che Muda, berkata misi program itu untuk melahirkan artis nasyid berkaliber dan menaikkan taraf muzik nasyid selain membawa kelainan terhadap industri muzik.

“Hasrat TV9 mengetengahkan program ini untuk menyampaikan dakwah dan mesej yang baik kepada penonton, memberi hiburan membina, membentuk akhlak bersesuaian dengan lagu ketuhanan dan keagamaan yang diperjuangkan. Malah, TV9 mengambil kira aspek pemakaian dan perilaku peserta,” katanya.

Katanya, TV9 juga ingin memberi ruang lebih luas kepada genre nasyid sekali gus mengangkatnya sebagai irama universal.

Cabangnya diperluaskan kepada kontemporari, puisi hingga acapella tanpa mengabaikan mesej melalui lirik yang baik, kreatif, segar dan menginsafkan.

Penganjuran program ini wajar diberi pujian berikutan usaha mereka untuk menaikkan taraf muzik nasyid.

Kesimpulannya, genre nasyid sebenarnya sukar untuk diberi pembaharuan. Imej nasyid sudah terlalu kuat dan ia wajib berada dalam lingkungan Islam dan positif. Aspek pemakaian dan personaliti perlu diberi perhatian tanpa mengira sama ada mereka kumpulan nasyid klasik atau kontemporari.

Mungkin apa yang boleh dilakukan bagi kumpulan nasyid moden ialah dengan tidak lagi menggunakan perkataan nasyid. Sebaliknya istilah pop dakwah lebih sesuai bagi mengelak kekeliruan dalam imej dan muzik yang mereka bawakan.

4 comments:

Dr. Bentara said...

nasyid metal?

http://krenmaut.blogspot.com/2008/07/sudahkah-anda-bersedia-dengan-nasyid.html

Anonymous said...

salam

bab nasyid ni, rupa nya band/artis Indonesia makin advance.. mula2 dulu pun depa dengar Raihan dan ambil contoh utk buat lagu2 nasyid. Ungu, contoh nya.. dah 2 tahun (if not mistaken) keluarkan album relegi sempena bulan ramadhan and buleh kira semua lagu nasyid dia sedap!.. Ipang - Tapak Tilas (lagu naik haji!), Putih - Ya Nabi, Opick - Taubat.. Gigi, Element, Anda, etc. Try la cari/download.. bukan nak promo band/artis luar lebih2.. tapi they've prove their material is worth listening. Lagipun, lagu2 nasyid.. tak kan la nak berkira..

wassalam

amey ahmad said...

salam,

dulu saya slalu dengar lagu2 'Stryper' tapi bila dah tau depa tu 'label' apa, maka sayapun stop ler.. Yang menariknya, rock nasyid kalau kena caranya, boleh membantu mendidik manusia..

(menghargai, menghayati dan meninati rock 'ketuhanan' 80an, sehingga kini..)

Yatt said...

Bentara Lansuyor
Nasyid metal? Apa elemen nasyid yang ada dalam nasyid metal tu? Kalau setakat lirik je x yah la panggil nasyid metal. Panggil je metal dakwah. Lagi ok rasanya kot?

Anon
Artikel tu sebenarnya dibuat pasal skrg dh ada kekeliruan pasal lagu nasyid tu. Aku x nampak Indon makin advance dgn nasyid. Lagu ungu tu apa yg nasyidnya? Aku rasa takat lirik je. Itu cuma lagu berunsur keislaman dan ketuhanan saja. Cara penyampaian ungu tak macam nasyid pun...

Kalau setakat mcm tu band rock kita dah lama buat dah Cuba check lagu BPR - Maghrib atau Wings - Dari Tuhan dan Alam Barzakh. Antaranya lah...

Amey Ahmad
Takdenya rock nasyid ke nasyid indie rock ke. Nasyid adalah nasyid, lenggoknya lain. Rock ketuhanan pun lain.