15 March 2006

Yazit Search Jadi Pensyarah Muzik di ASK

Oleh: MUZLINA ABU BAKAR (Utusan Malaysia, 14 Mac 2006)

DALAM diam-diam, pemain dram kumpulan rock popular Search, Yazit Ahmad atau lebih dikenali sebagai Yazit Search sudah tiga tahun menjadi pensyarah muzik di Akademi Seni Kebangsaan (ASK).

Yazit, 44, yang suatu ketika dulu pernah meninggalkan Search untuk menumpukan perhatian pada bidang perniagaan ditawarkan menjadi pensyarah di ASK secara kontrak sejak 2003.

Bersandarkan kehebatan dan kemahirannya memukul dram, Yazit yang diakui sebagai salah seorang daripada pemain dram terbaik di Malaysia, kini mengajar murid-muridnya dalam bidang itu.

Melalui kelas yang diadakan dua kali seminggu iaitu setiap Selasa dan Khamis selama tiga jam mulai pukul 4 petang, Yazit mengajar teknik memukul dram.

“Seronok juga aku dapat mencurahkan kemahiran dan ilmu kepada budak-budak muda yang minat bermain dram. Dalam setiap semester, pelajarnya antara enam atau empat orang sahaja.

“Walaupun tak ramai tapi aku rasa mereka semua berbakat dan ada minat yang mendalam. Aku yakin dengan tunjuk ajar dan pelajaran yang diikuti itu, kita akan mempunyai pelapis pemain dram terbaik pada masa akan datang,” cerita Yazit ketika ditemui di rumahnya di Taman Melati, Gombak, Selangor baru-baru ini.

Menurut Yazit, sebelum pelajar-pelajar diajar memukul dram, mereka diajar bagaimana memegang kayu dram.

“Selepas itu mereka akan diajar cara duduk, drum setting dan bagaimana mahu tune dram untuk melahirkan melodi yang indah. Jika semua itu dah betul barulah mereka boleh memulakan kelas,” kata Yazit.

Menceritakan pengalaman hari pertama mengajar para pelajarnya, Yazit, ayah kepada tiga orang anak, Norazila, 24, Shamir, 21, Shafika, 13, hasil perkahwinan dengan Ramlah Ahmad, 47, berkata:

“Mulanya aku tertanya-tanya bagaimana agaknya nak berdepan dengan pelajar-pelajar tu. Aku cuma dikenali sebagai pemain dram tetapi tiba-tiba jadi pensyarah.

“Tapi... semua keraguan itu hilang bila aku masuk kelas. Pelajar-pelajar panggil aku cikgu. Aku rasa dapat semangat baru dan keyakinan teguh untuk melaksanakan tanggungjawab yang diberikan kepada aku,” cerita Yazit sambil tersenyum bila mengingatkan pengalaman pertama menjadi pensyarah.

Bermula tiga tahun lalu, apabila Yazit mengambil keputusan meninggalkan Search, dia merancang untuk beralih ke bidang perniagaan pelancongan.

“Lalu bersama beberapa kawan baik aku, kami buka syarikat membawa pelancong Arab ke Kelantan, Pulau Pinang dan kadang-kadang sampai ke Hatyai.

“Pada masa itu memang seronok. Kau tahu para pelancong Arab memang pemurah dan sepanjang dua tahun bekerja membawa mereka, aku dapat tips RM50,000! Bayangkan betapa mewahnya.

“Tapi... bila dua tayar depan bas pelancong yang aku bawa meletup dan kami nyaris kemalangan, aku terus taubat tak mahu lagi bawa bas pelancong.

“Kerjanya memang seronok walaupun penat tetapi pengalaman itu membuatkan aku serik dan takut. Setelah berfikir seminggu dan berbincang dengan isteri aku, Ramlah, aku tarik diri daripada menjadi rakan kongsi perniagaan itu,” kata Yazit.

Sejak itu, Yazit memberikan tumpuan kepada bengkel Nasman Auto Service yang terletak di Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur.

Bengkel kereta yang diusahakan bersama seorang rakan baiknya itu kini membuatkan Yazit sentiasa sibuk selain tugasnya sebagai pensyarah di ASK.

Jika di kalangan pelajarnya Yazit dipanggil cikgu tetapi di kalangan ahli kumpulan Search, Yazit lebih mesra dengan panggilan abang.

Walaupun usianya empat tahun lebih muda daripada Amy namun itulah panggilan mereka terhadapnya. Tidak kira Amy, Kid, Nasir dan Din – semua memanggilnya Abang Yazit.

Sebab itu apabila Yazit meninggalkan Serach selama dua tahun, ahli kumpulan Search bagaikan kehilangan abang yang mereka sayang.

“Sebab itu apabila Amy dan yang lain-lain datang jumpa aku tiga kali tahun lepas, aku fikir lebih baik aku bersama mereka semula.

“Lagipun kata orang kalau dah orang seni tu ke mana pergi tetap akan ingatkan seni. Jadi aku ambil sikap buang yang keruh dan ambil yang jernih,” cerita Yazit.

Yazit bersama Search akan muncul dengan album baru, Empayar Garden, tidak lama lagi.

Menceritakan kehidupannya kini, Yazit berkata, dia telah lebih 19 tahun menetap di apartmen yang dibeli pada harga RM44,000.

“Kalau Amy rasa muda dukung anak ketika umur 48 tahun, aku pula rasa seronok dalam usia 44 tahun dah ada seorang cucu, Edrina, 2 tahun, hasil perkahwinan anak sulung aku dengan Maarof Abdul Rahman. Sekarang mereka menetap di Lukut, Negeri Sembilan,” cerita Yazit.

4 comments:

suess said...

hello sis nad... this is a good throw. keep it comin' yea!

blackpurple @ jowopinter said...

Hmmm... boleh katakan tetiap hari jugak la jumpa Yazit ni kat satu workshop kereta kat Genting Klang tu........

N a d i a said...

su,
well, this is our new baby (my hubby & me la tu..). we'll do our best to keep it rockin'!

blackpurple,
thanks for visiting.

Anonymous said...

memang dia ada kat ASK nih...
tapi....ermmm....cuma student dan org2 yg terdekat jer yg tau...
ermm..anyway memang seronok jumpa rockstar pas tu idola aku plak tu kat sini....bukan yazit sorarang je kat ASK nih...drummer selain Yazit..Uncle Tom(lefthanded) & Jerry Felix..gitaris ada Sharul (Ekamatra),Samad (Lefthanded) dan chobib..ermmm...diaorg memang rock
ahahahaa...

-maxtone-
music tutor ASK